

“PROGRAM LATIHAN KERJAYA HOSPITALITI YWP” BERSAMA UPM EDUCATION TRAINING (UPM-ET) DAN DHS HOSPITALITY ACADEMY
-
KUALA LUMPUR – Seramai 2,000 warga belia, gelandangan, ibu tunggal, individu kurang upaya, individu warga emas dan mereka yang mempunyai sejarah kesalahan kecil dengan undang-undang dan golongan yang tercicir di Wilayah Persekutuan berpeluang mendapatkan sijil, latihan industri dan penempatan kerja melalui program “Program Latihan Kerjaya Hospitaliti YWP”.
-
Program bakal dilaksanakan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) melalui kerjasama dengan DHS Hospitality Academy sebagai rakan strategik UPM Education & Training (UPMET).
-
Program ini bertujuan memberi persediaan kepada pelajar dalam industri Hospitaliti dan sektor Penerbangan - Operasi Darat. Sepanjang tempoh latihan selama setahun, peserta akan didedahkan dengan pengalaman kerja sebenar yang diyakini lebih efektif, realistik dan praktikal.
-
Bagi memulakan program ini, peserta hanya perlu membayar yuran komitmen sebanyak RM100 dan pihak YWP akan memberikan bantuan awal sebanyak RM500 secara one-off bergantung kepada kelayakan, bagi menjelaskan yuran pendaftaran program.
-
Bagi peserta yang mengikuti program dalam industri Hospitaliti, elaun akan diberikan dari RM600 - RM1000/ sebulan. Selepas tamat pengajian selama 12 bulan, peserta akan menerima Insentif sebanyak RM600 oleh YWP dan Pensijilan program oleh UPMET.
-
Manakala bagi peserta sektor Penerbangan - Operasi Darat, elaun antara RM1500-RM1900 akan diberikan, termasuk penginapan & makan minum yang disediakan oleh syarikat di mana mereka ditempatkan.
-
Bagi peserta dari Labuan yang mengikuti kedua-kedua bidang ini, kos tiket penerbangan mereka akan dikembalikan sebaik sahaja mereka melengkapkan tempoh program.
-
Objektif “Program Latihan Kerjaya Hospitaliti YWP” adalah untuk memberi peluang kepada penduduk di Wilayah Persekutuan mendapatkan pekerjaan dalam industri Hospitaliti dan sektor Penerbangan – operasi darat, di samping mengurangkan penggajian pekerja asing dalam kedua-dua industri tersebut.
-
DHS Hospitality Academy pernah menjadi perintis dalam menawarkan program penempatan Hospitaliti kepada belia untuk program di Malaysia dan Singapura. DHS juga mempunyai 250 program berkaitan industri perhotelan melalui platform teknologi edu SKILLSPRO.