Bantuan makanan di PKPD Pusat Bandar Utara, Pasar Borong KL mula diagih

KUALA LUMPUR: Penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, akan menerima bantuan makanan bermula hari ini.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, pihaknya mengambil sedikit masa untuk mendapatkan data dan keperluan khas penduduk berikutan jumlah individu yang ramai menghampiri 16,000 orang.



“Bagi melakukan bancian serta ujian saringan di setiap unit dan blok dalam kawasan itu, semua pihak daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu menggunakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi mengelak jangkitan.


“Menerusi bancian dan saringan ini, barulah kita akan mengetahui jumlah sebenar mereka yang terbabit, serta bantuan yang mereka perlukan, sama makanan, susu bayi atau perubatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Beliau ditanya mengenai dakwaan penduduk di Taman Sri Murni yang diletakkan di bawah PKPD, bahawa mereka belum menerima maklumat mengenai agihan bantuan makanan.


Mengulas lanjut, Santhara berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengenal pasti lokasi penduduk tempatan yang majoritinya berada di kawasan Parcel E1 (Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D); Parcel E2 (Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D) dan Parcel E3 (Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B).


Beliau berkata, majoriti penduduk adalah warga asing dengan 90 peratus daripada mereka adalah etnik Rohingya yang kebanyakannya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.


Beliau berkata, bantuan barangan asas seperti beras, tepung dan minyak masak yang dibeli menerusi wang Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), diutamakan kepada warga tempatan kerana memiliki dapur sendiri, berbanding warga asing.


“Bagi warga asing, kami tidak menggunakan wang kerajaan, sebaliknya kita kumpul dana daripada pihak swasta, antaranya sumbangan oleh tiga syarikat korporat masing-masing berjumlah RM250,000 dalam bentuk wang serta barangan keperluan.


“Kami juga ada menghubungi kedutaan seperti Bangladesh, Indonesia dan Pakistan, selain Pesuruhjaya Bangsa- Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) untuk turut sama membantu.


“Mereka juga boleh menghubungi atau maklumkan pihak JKM dalam kawasan itu jika perlukan susu bayi dan seumpamanya, selain akan membantu memberi perhatian pada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Santhara memaklumkan, pihaknya juga bercadang mewujudkan talian khas bagi mereka yang dikenakan PKPD.

54 views

Recent Posts

See All

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075 | WhatsApp : +6019-3483073

Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my