Hanya ulangi komitmen YWP, itu bukan subjudis, kata Annuar

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa menafikan kenyataannya berhubung projek pembinaan pangsapuri mampu milik untuk 100 keluarga yang telah menghuni selama 38 tahun di rumah panjang Bukit Kiara, Kuala Lumpur adalah suatu perkara subjudis.

Sebaliknya, tegas beliau, pihaknya hanya mengulangi komitmen Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) untuk menyediakan kediaman percuma kepada penduduk tersebut.

“Perkara itu telah berada di mahkamah, kita tidak akan bincangkan soal benda yang sedang dibicarakan di mahkamah. Untuk makluman subjudis ialah apabila kita pertikaikan merit dan demerit sesuatu kes atau subject matter yang sedang dibicara dan hendak mempengaruhi keputusan di mahkamah.

“Yang itu saya tidak buat, saya pun faham, tidak perlu buat perkara yang subjudis, yang saya sebut itu adalah mengulangi komitmen YWP untuk beri rumah percuma sebuah setiap keluarga yang telah ditempatkan di situ, itu saja,” katanya dalam sesi Live di Facebooknya semalam.

Beliau mengulas dakwaan bahawa kenyataannya berhubung usaha membina perumahan mampu milik kepada penduduk rumah panjang Bukit Kiara, Sabtu lalu adalah subjudis.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan barangan makanan sumbangan YWP kepada penduduk di kawasan tersebut.

INILAH rumah panjang Bukit Kiara yang telah menjadi tempat berteduh 100 buah keluarga sejak 38 tahun lalu.

Sebelum ini projek pembangunan di atas tanah milik YWP bersama syarikat pemaju berhampiran Taman Rimba Kiara mendapat bantahan penduduk di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dan perkara itu kini berada di peringkat Mahkamah Rayuan.

Projek itu turut melibatkan pembinaan pangsapuri mampu milik untuk diberikan percuma kepada penduduk rumah panjang tersebut.

Annuar berkata, beliau juga mengambil pendirian untuk tidak akan berunding dengan mana-mana pihak berkaitan perincian projek itu memandangkan ia sudah dibawa ke mahkamah.

“Biarlah proses mahkamah berjalan. Nanti kalau mahkamah sudah buat keputusan kita kena terima, itu saja keadaannya.

“Sebagaimana kita tahu kes itu dahulu dibawa ke Mahkamah Tinggi dan telah diputuskan tidak ada kes. Kemudian ada pula bawa ke Mahkamah Rayuan. Oklah kita teruskan kes mahkamah, itu satu proses undang-undang, kita mesti hormati proses undang-undang,” kata beliau.

Bagaimanapun, Annuar menyatakan kesediaannya untuk menerima permintaan mana-mana pihak terbabit atas kapasiti jawatan masing-masing untuk berjumpa dengan beliau atau mengadakan kunjungan hormat.

“Sepatutnya hari ini (semalam) berjumpa dengan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh tetapi dia minta tangguh, tidak ada masalah, datanglah bila-bila masa atas sifatnya sebagai Ahli Parlimen dan ada pula kata Pengerusi persatuan penduduk di situ telah menulis surat pada 18 Mac lalu, hari itu diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi kita tidak respons. “Semalam ada jemput datang dan kemudian minta tangguh, bila hendak datang, datanglah bila-bila masa,” ujar beliau.

Jelas Annuar, sebagai Menteri Wilayah Persekutuan beliau bersikap terbuka dan sedia mendengar serta berbincang namun tiada sebarang keputusan akan dibuat.

“Keputusan kita serah kepada mahkamah dan kita akan patuhi apa yang diputuskan,” katanya. – WILAYAHKU

1 view
  • Wix Facebook page
  • Wix Twitter page
  • Instagram App Icon

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075 | Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my