top of page

Ibu kota dilimpahi cahaya biru 1 Mei ini

Simbolik ucapan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan sempena Hari Pekerja


KUALA LUMPUR – Seluruh ibu kota Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bakal dilimpahi cahaya biru mulai pukul 10 malam pada 30 April ini hingga pukul 1 pagi sebagai tanda simbolik warga Wilayah Persekutuan mengucapkan jutaan terima kasih atas pengorbanan petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, inisiatif yang diambil sempena Hari Pekerja setiap 1 Mei itu akan dilakukan selama tiga malam berturut-turut melibatkan pencahayaan di bangunan-bangunan di sekitar ibu kota.

“Warga Wilayah Persekutuan akan mempamerkan ucap terima kasih pada tarikh tersebut dengan bandar raya bercahaya biru selama tiga malam berturut-turut.

“Bangunan atau rumah-rumah kalau ada peluang birukan lampu, kita pilih warna biru yang melambangkan profesional perubatan kerana usaha memerangi Covid-19.

“Antara pekerja yang sedang berhempas-pulas menggadai nyawa, berkorban jiwa dan raga adalah petugas barisan hadapan, mereka yang bertugas dalam gerakan memerangi Covid-19 adalah para doktor, jururawat petugas di hospital, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam, kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan lain-lain,” katanya dalam sesi Live di laman Facebooknya hari ini.

Sesi itu turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Wilayahku. 

Annuar berkata, dengan kementerian melaksanakan polisi ‘padam api sewaktu kecil’, semua petugas barisan hadapan melakukan pengorbanan termasuk menanggung beban yang kian bertambah kini.

“Pintasan Saloma, Menara Berkembar Petronas KLCC, bangunan di Putrajaya, masjid, gereja dan kuil kita jemput pasangkan pencahayaan pada 30 April ini,” katanya.

Malah beliau juga menjemput seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama tunjukkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

“Ini juga merupakan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan di seluruh dunia kerana masalah ini merupakan pertarungan yang dilalui rakan-rakan kita di negara-negara lain.

“Mereka sedang berkorban, masa, tenaga dan jiwa raga serta nyawa untuk melawan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya. – WILAYAHKU

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page