Jika perlu laksana PKPD, teruskan: Annuar

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi isyarat bahawa kementeriannya bersiap sedia mengambil tanggungjawab terhadap sebarang kemungkinan melibatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) khususnya melibatkan kawasan Wilayah Persekutuan.


"Tak perlu teragak-agak keluarkan arahan hanya kerana kawasan itu besar dan memerlukan kos yang besar.

"Tak kisah warga asing atau warganegara. Yang penting nyawa. Jika tak kawal warga asing, yang turut bahaya adalah warganegara kita sendiri," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berupa peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Pusat Pengurusan Krisis (CMC) di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Hadir menyampaikan sumbangan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

PKPD di Kuala Lumpur telah dilaksanakan di Menara Plaza City One disusuli Selangor Mansion dan Malayan Mansion sebelum diperluas sekitar Masjid India sejak Selasa lalu.

Bagaimanapun dua kawasan dikecualikan daripada PKPD meliputi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan pusat pengawasan gelandangan DBKL.

Sementara itu, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, kementeriannya dengan kerjasama penyumbang mengumpul dana RM2 juta sebagai langkah persiapan melengkapkan fasiliti jika lebih banyak PKPD dilaksanakan di ibu negara.


"Kita nak pastikan dapat memberikan bekalan makanan yang mencukupi. Buat masa ini, beli pek makanan kos tinggi.

"Jika libatkan jumlah besar, berkemungkinan akan buat dapur bergerak di PKPD. Perkara itu dah dibincangkan bersama tentera supaya dapur-dapur mereka dari kem boleh dibawa keluar ke kawasan PKPD," katanya.

0 views

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075 | Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my