Mungkin ada lagi petempatan warga asing dikenakan PKPD

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa memberi bayangan lebih banyak bangunan didiami warga asing akan diletak di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata, petempatan itu membabitkan kondominium ataupun rumah sewa yang mempunyai risiko jangkitan Covid-19 agak tinggi.

"Kita semalam menjangkakan akan ada lagi beberapa petempatan sama ada kondominum ataupun unit-unit rumah sewa yang didiami warga asing tetapi mempunyai risiko jangkitan (Covid-19) yang agak tinggi.

"Ini kita sangat-sangat diberi perhatian kerana semalam saja daripada 153 kes baru 44 adalah dari kawasan Wilayah Persekutuan," katanya pada sidang media yang turut disiarkan di Facebooknya hari ini.

Minggu lalu, kerajaan mengarahkan bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di tengah ibu negara diletakkan di bawah PKPD berikutan banyak kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19 dikesan di bangunan yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur itu.

Ia merupakan PKPD keempat dikuatkuasakan kerajaan sejak pertama kali diumumkan di dua buah kampung di Simpang Renggam, Johor pada 27 Mac lalu.

PKPD di kawasan itu melibatkan 5,000 hingga 6,000 penghuni membabitkan 365 unit kediaman dan premis perniagaan di bangunan itu.

Annuar berkata beliau mendapat maklumat ada pegawai kementeriannya turut diuji positif Covid-19.

Dalam pada itu, Annuar mengulangi bahawa tiada bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan tahun ini.

Katanya, beliau telah bertemu dengan wakil daripada persatuan penjaja bagi membincangkan perkara berkenaan hari ini.

Jelsasnya, kesemua bersetuju bahawa bazar dibatalkan, akan digantikan dengan tiga konsep jualan yang berbeza iaiti pandu lalu, pesan dan bungkus, serta perkhidmatan e-hailing.

"Kita perlu mengenal pasti lokasi, susun atur gerai, bilangan peniaga dan memastikan pematuhan langkah penjarakan sosial.

"Semua pembayaran yang dibuat oleh peniaga seperti deposit, akan dibawa ke depan untuk tahun depan," katanya.

4 views
  • Wix Facebook page
  • Wix Twitter page
  • Instagram App Icon

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075 | Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my