Pembangunan semula di Kampung Baru masih diteliti


KUALA LUMPUR – Dengan nada berterus terang, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengakui kerajaan termasuk kementeriannya tidak mempunyai dana mencukupi untuk membeli tanah-tanah di Kampung Baru.

Katanya, kerajaan sebelum ini juga belum menyediakan sebarang peruntukan untuk membeli tanah-tanah tersebut, dengan anggaran yang belum dimuktamadkan adalah sekitar RM7 bilion. “Sebenarnya, saya sendiri pernah tinggal di Kampung Baru malah saya pernah buat tesis berkaitan permasalahan yang dihadapi di sini sekitar hujung tahun 70-an, bayangkan betapa lama dan rumitnya perkara ini. “Malah saya sendiri mempunyai tanah di Kampung Baru yang kosong begitu sahaja sejak 30 tahun ini. Sudah tentu saya sendiri mahu isu ini dapat di selesaikan. “Tetapi perlu saya beritahu di sini, ketika ini, hanya 61 peratus sahaja bersetuju untuk menjual tanah mereka sebalik bakinya masih enggan. Walaupun 80 peratus bersetuju untuk jual sekalipun, 20 peratus tidak, ianya masih ‘ no go’. Fahami itu. “Kedua, jika kami hendak beli sekalipun, ketika ini kita tidak ada duit. Saya telah semak dengan kerajaan, semak dengan kementerian, selidik dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga Perbadanan Putrajaya juga tiada dana sebanyak itu.

“Runding harga tapi tiada duit? Bagaimana itu?” katanya dalam temuramah eksklusif dengan MalaysiaGazette di Wisma YWP dekat sini semalam. Media sebelum ini melaporkan kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini akan memuktamadkan rancangan pembangunan semula Kampung Baru pada Jun depan. Pada 24 Oktober tahun lalu, kerajaan membuat tawaran muktamad kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah yang terbabit dalam pembangunan semula pada harga RM1,000 satu kaki persegi, iaitu RM850 secara pulangan tunai dan baki RM150 dalam bentuk pegangan saham.

Mengulas lanjut isu Kampung Baru, Annuar berkata, beliau masih lagi meneliti isu tersebut ketika ini dan belum dapat memberikan apa-apa keputusan muktamad mahupun sekadar ‘ya’ atau tidak dalam isu tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, sebagai seseorang yang bergelar perancang bandar dan pernah menetap di Kampung Baru, beliau mempunyai pandangan tersendiri dan peribadi.

“Pada saya, terus terang saya cakap. Tidak perlu pembangunan semula. Buatlah apa yang pemilik sebenarnya hendak. Kerajaan sebenarnya kena bersedia buat lebih untuk Kampung Baru.

“Jika tidak mampu bina bangunan pencakar langit seperti ‘Twin Tower’ sekalipun, mungkin sekadar tampal jalan, lebar jalan dan adakan prasarana lebih baik di Kampung Baru.

“Jika mampu buat di Mont Kiara, di bandar-bandar besar, perumahan mahal mengapa tidak di sini?” soalnya.

Walaupun dilahirkan di Kelantan namun beliau mengakui sudah lebih 47 tahun menetap di Kuala Lumpur, antaranya Seri Gombak. Kampung Baru dan Bukit Damansara sehingga menyebabkan dirinya cukup ‘fasih’ dengan isu di sini.

Malah Annuar juga berpengalaman luas dalam aspek perancangan bandar dan merupakan Ahli Institut Perancang Malaysia selain pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar di DBKL pada 1981 hingga 1982. –MalaysiaGazette




0 views

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075 | Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my