top of page

15.1.2019 MAJLIS PENYERAHAN CEK SKIM BANTUAN AWAL KE IPT & CEK SKIM PRIHATIN WILAYAH PERSEKUTUAN

15.1.2019 – Lebih 97 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dari kalangan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan lebih bersemangat untuk memulakan pengajian mereka kali ini.

Ini adalah kerana mereka menerima bantuan kewangan melalui Skim Bantuan Awal Ke IPT oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang diberikan secara one-off kepada anak-anak Wilayah Persekutuan daripada keluarga berpendapatan rendah, memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan serta berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di dalam atau luar negara.

Antara syarat dan kriterianya ialah pemohon mestilah lahir di Wilayah Persekutuan, ibu/ bapa/ penjaga merupakan pengundi Wilayah Persekutuan dan menetap di Wilayah Persekutuan serta mempunyai pendapatan perkapita RM1,000 dan ke bawah. Kiraan pendapatan perkapita ini ialah gabungan pendapatan seisi rumah, dibahagikan dengan bilangan tanggungan seisi rumah.

Antara penerima pada hari ini ialah 30 pelajar Diploma, 65 pelajar Ijazah Sarjana Muda dan 2 pelajar Ijazah Sarjana. 96 adalah pelajar di IPT tempatan manakala 1 merupakan pelajar luar negara.Cek bantuan disampaikan oleh En Zaizalnizam bin Zainun, Ketua Pegawai Eksekutif YWP dan menurut beliau, Yayasan Wilayah Persekutuan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM7.6 juta bagi tujuan pelbagai skim dan program pembangunan pendidikan seperti Seminar Kecemerlangan UPSR dan SPM, Seminar Kecemerlangan Guru-Guru, Program Back to School, Program Bersama Pelajar-Pelajar Tajaan, Skim Biasiswa Pengajian Tinggi, Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah dan sebagainya.

“Saya berharap tuan-tuan manfaatkanlah bantuan yang ada demi kemajuan pendidikan anak-anak kita. Tuan-tuan boleh rujuk laman sesawang Yayasan Wilayah Persekutuan iaitu www.yayasanwp.org.my untuk senarai skim bantuan yang ditawarkan”, ujar beliau.

Majlis yang sama juga menyaksikan penyampaian cek kepada 9 orang waris ahli Skim Prihatin Wilayah Persekutuan, yang merupakan skim khairat kematian bagi warga Wilayah Persekutuan.

Skim Bantuan Awal Ke IPT dan Skim Prihatin Yayasan Wilayah Persekutuan merupakan antara beberapa program atau inisiatif yang diwujudkan oleh YWP bagi membantu meringankan beban rakyat terutama golongan B40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page