USAHAWAN ANAK MUDA KOTA
USAHAWAN ANAK MUDA KOTA
Program Pembangunan Usahawan Anak Muda
FAQ PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN ANAK MUDA KOTA
1) Apakah inisiatif Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota?
-
Inisiatif ini merupakan program penggalakan usahawan muda kota yang dirangka bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) serta agensi kerajaan lain yang berkaitan dengan pembangunan usahawan.
-
Inisiatif ini terdiri daripada:
-
i. Bayaran sewaan nominal, memudahcara permohonan lesen perniagaan di DBKL dan PPj
ii. Bantuan pembiayaan dan bimbingan perniagaan daripada agensi kerajaan; bantuan dan akses dalam mengaplikasikan ekonomi digital daripada pelbagai aspek seperti pengiklanan, pengisian pesanan, komunikasi antara pekerja dan kajian pasaran
iii. Tawaran perniagaan francais (tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan)
iv. Peluang latihan serta tawaran dalam bidang keusahawanan yang diumumkan agensi berkaitan
2) Apakah matlamat yang ingin dicapai melalui program ini?
-
i. Merangsang ekonomi negara melalui sektor keusahawanan pasca pandemik Covid-19
ii. Melahirkan lebih ramai usahawan muda di lokasi tumpuan dan strategik sekitar ibu kota
iii. Memperkasakan usahawan mikro supaya lebih berdaya saing dalam menghadapi norma baharu
3) Di manakah lokasi ruang niaga ditawarkan?
-
Penyediaan ruang niaga berbentuk kios di Berjaya Times Square dan hentian bas atau teksi di sekitar Kuala Lumpur di
samping kios di side walk cafe di beberapa lokasi strategik. Selain itu, terdapat ruang niaga (pit stop) bagi usahawan Food Truck.
4) Berapa banyak ruang niaga yang disediakan?
-
Penyediaan kios atau ruang niaga untuk 1,000 usahawan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
5) Apakah kelayakan seseorang untuk menyertai program ini?
-
Peluang terbuka kepada individu yang berminat dalam bidang keusahawanan dan keutamaan diberikan kepada usahawan baharu atau sedia ada yang terjejas mata pencariannya akibat pandemik Covid-19.
-
Syarat-syarat kelayakan bagi menyertai program ini adalah:
i. Warganegara Malaysia
ii. Menetap atau lahir sama ada di Kuala Lumpur atau Putrajaya
iii. Berumur 18 tahun ke atas (keutamaan kepada golongan belia) -
6) Bagaimanakah caranya untuk menyertai program ini?
-
Mengisi borang secara online melalui website https://usahawanwp.kwp.gov.my dan sertakan gambar dokumen sokongan seperti:
i. Gambar ukuran pasport
ii. Kad pengenalan pemohon
iii. Bil air atau bil api
iv. Sijil pendaftaran SSM (sekiranya telah mempunyai perniagaan) -
Calon usahawan boleh berhubung dengan urusetia Bahagian Sosio Ekonomi KWP untuk pertanyaan lanjut di talian rasmi 03-88897636/7644/7893/7767/7853 atau e-mel usahawanwp@kwp.gov.my, myusahawankota.wp@gmail.com.
7) Bilakah tarikh akhir bagi mengemukakan permohonan untuk menyertai program ini?
-
Sekiranya sambutan amat menggalakkan, kerajaan akan meneruskan program ini dengan menambah bilangan ruang perniagaan. Oleh itu, tiada tarikh akhir ditentukan bagi program ini.
8) Sekiranya pemohon berstatus bankrap bolehkah individu tersebut menyertai program ini?
-
Boleh dengan syarat permohonan dibuat atas nama pasangan atau ahli keluarga terdekat dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilihan.