ANUGERAH NGO TERBAIK KATEGORI YAYASAN BERASASKAN PENDIDIKAN & KOMUNITI SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PERDANA NGO MALAYSIA 2025
Feb 27
1 min read
Petaling Jaya, 24 Disember 2025 – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan penuh rasa syukur merakamkan penghargaan atas penerimaan Anugerah NGO Terbaik Kategori Yayasan berasaskan Pendidikan & Komuniti sempena Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 (APNM 2025) yang telah berlangsung dengan jayanya pada Selasa, 23 Disember 2025 di Grand Lagoon Ballroom, Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya.
Anugerah berprestij tersebut telah diterima oleh YBHG. Dr. Abdul Basir bin V. Kunnimohamed, Ketua Pegawai Eksekutif YWP
Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan signifikan terhadap komitmen berterusan YWP dalam memperkasa bidang pendidikan serta pembangunan komuniti melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan, bantuan pendidikan dan program pemerkasaan masyarakat yang memberi impak langsung kepada golongan sasar.
Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, serta dianjurkan oleh Yayasan Generasi Gemilang dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Press, Yayasan Keusahawanan Sosial dan Promost Resource.
Yayasan Wilayah Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas pengiktirafan ini serta kepada semua rakan strategik dan pihak berkepentingan yang sentiasa menyokong usaha YWP.
Pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin kepada YWP untuk terus komited dalam memperluas agenda pendidikan dan pembangunan komuniti demi kesejahteraan masyarakat.
Comments