top of page

Mangsa ribut terima bantuan, bakul makanan Yayasan Wilayah Persekutuan

PRIHATIN terhadap nasib yang menimpa mangsa ribut di Kampung Selayang Lama, Gombak pada 21 Februari lalu, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa terlibat.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, pihaknya mendapat makluman daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Parlimen Batu yang memaklumkan terdapat kejadian ribut yang berlaku sehingga merosakkan dua buah rumah.


“Kami memberikan sumbangan wang tunai berjumlah RM500 serta bantuan bakul makanan yang mengandungi tepung, gula, garam, beras bernilai RM50 kepada mangsa yang terlibat.


“Selain itu, sejumlah RM500 turut disalurkan kepada masjid untuk dibaik pulih,” katanya kepada Wilayahku selepas Majlis Penyerahan Bantuan kepada mangsa ribut di perkarangan Masjid Anas Bin Malik, Kampung Selayang Lama yang disampaikan Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Askolani baru-baru ini.


Zaizalnizam turut berharap mangsa dapat menggunakan sumbangan tersebut untuk membaik pulih rumah termasuk sumbangan bakul makanan bagi menampung perbelanjaan sepanjang ditimpa musibah.


“Saya turut mengalakkan mana-mana syarikat korporat atau individu untuk memberikan sumbangan agar kita dapat bersama-sama membantu warga kota yang sedang mengalami kesusahan atau ditimpa musibah,” katanya.


Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata, pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM35,000 untuk kos baik pulih rumah dan kerosakan pada masjid tersebut dan akan melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengenalpasti kerosakan di rumah mangsa serta kawasan masjid untuk memudahkan proses penyaluran bantuan.


Dalam pada itu, Pengerusi MPP Parlimen Bukit Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim memaklumkan, barangan kepunyaan mangsa akan diletakkan di Dewan Selayang Lama sementara waktu berikutan bimbang akan berlaku hujan lebat sekali lagi di kawasan

tersebut.


Kejadian hujan lebat dan angin kuat di kawasan itu yang berlaku pada pukul 1 pagi Selasa minggu lalu telah mengakibatkan dua buah rumah yang didiami tiga keluarga ranap.

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page