top of page

YWP bantu pesakit pasca COVID-19 kategori 5 di PPR Taman Wahyu 2

PENDERITAAN bekas pesakit pasca COVID-19 kategori 5 yang juga warga emas, Kamisah Majid mendapat perhatian Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) selepas permohonan dibuat anaknya yang berpendapatan bulanan sebanyak RM600.


Ekoran daripada itu, pihak YWP menghulur bantuan tunai kepadanya berikutan kos memasukkan oksigen adalah sebanyak RM35 sehari. Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti YWP, Kamaruzaman Mustapha berkata, bantuan yang disalurkan merupakan bantuan awal kepada warga emas berkenaan sebelum menerima bantuan lain daripada agensi berkaitan.


“Kes ini telah dipanjangkan kepada pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Parlimen Batu, Gulam Muzaffar Gulam Mustakim, yang telah memaklumkan kepada pihak YWP dan kami berpendapat warga emas ini wajar dibantu.


“YWP telah menyerahkan bantuan segera berupa wang tunai bernilai RM500 bagi membantu seorang warga emas yang sedang menderita sindrom pasca-covid untuk kegunaan dan perubatan,” katanya kepada Wilayahku selepas menyerahkan bantuan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu 2 pada Selasa.


Menurut Kamaruzman, bantuan yang diberikan merupakan bantuan one-off sebelum beliau menerima bantuan daripada agensi lain seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Baitulmal.


“Pihak YWP tidak mempunyai bantuan khusus untuk bekas pesakit COVID-19, namun sekiranya ada kes-kes tertentu yang memerlukan bantuan segera, maka kami akan melihat terlebih dahulu.


“Buat masa ini pihak YWP hanya memproses bantuan segera sahaja dan kita akan mengenal pasti bantuan lain yang mungkin boleh disalurkan kepada pesakit ini,” katanya sambil menambah pihak YWP tidak memberikan bantuan khusus untuk pesakit kes seperti ini.


Dalam pada itu, Gulam Muzaffar berkata, kebanyakan kes sindrom pasca-covid tahap empat dan lima memerlukan rawatan susulan di rumah selain melibatkan perbelanjaan yang agak tinggi.


“Sebelum ini, MPP tidak pernah terfikir keperluan perubatan untuk pesakit seperti ini dan kebanyakan kita sediakan lampin pakai buang serta kerusi roda.


“Tetapi apabila mereka memerlukan bantuan tong oksigen dan itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi bagi proses pemulihan setiap pesakit ini.


“Kos pula difahamkan kira-kira RM50 sehari dan untuk tempoh sebulan, mereka memerlukan kira-kira RM1,500 yang melibatkan kos isian gas oksigen sahaja,” katanya.


Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan untuk memperkenalkan bantuan tong oksigen memandangkan golongan berpendapatan rendah semestinya terbeban untuk mendapatkan bekalan tersebut memandangkan kosnya tinggi.

 

Comments


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075 | WhatsApp : +6019-3483073

Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my

bottom of page