top of page

Bantuan makanan YWP diteruskan, pelajar diseru elak pembaziran

PROGRAM Bantuan Makanan yang dilaksanakan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bagi membantu pelajar sekolah menengah daripada golongan berpendapatan rendah (B40) akan diteruskan seperti biasa sejurus sesi persekolahan dibuka.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, bantuan makanan tersebut akan dilaksanakan seperti sebelum ini kepada pelajar yang memulakan persekolahan terlebih dahulu.


“Insya-Allah bantuan tersebut dapat membantu para pelajar untuk lebih fokus dalam sesi pembelajaran dan pembelajaran (PDP) selain mengurangkan beban ibu bapa untuk memberi duit belanja kepada mereka.


“Kita faham dalam keadaan sekarang ramai yang terjejas pendapatan sekali gus tidak mampu menyediakan belanja lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai lebih daripada seorang anak yang bersekolah," ujar beliau.


Tambah beliau lagi, mereka hanya perlu fokus kepada pelajaran dan meningkatkan prestasi dalam pembelajaran untuk berjaya seterusnya mampu mengubah masa hadapan keluarga kelak.


“Saya harap para pelajar dapat memanfaatkan bantuan ini sebaiknya dan elakkan pembaziran lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu saat ini. Dalam masa yang sama, kita akan menambah bilangan pelajar yang memerlukan,” kata beliau kepada Wilayahku.


Mengulas lanjut, Zaizalnizam berkata, pihak YWP sentiasa peka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang mana makanan yang disediakan akan dibungkus rapi.


Terdahulu, bantuan makanan yang disediakan sejak 2016 oleh YWP membantu pelajar sekolah menengah daripada golongan berpendapatan rendah (B40) yang meliputi 108 buah sekolah di seluruh Wilayah Persekutuan.


Bantuan diberikan kepada pelajar miskin yang layak dan dikenal pasti oleh pihak sekolah serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.


Comments


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page