Debaran PESAYA-14 kian terasa
YWP fokus aspek fizikal, mental atlet
Menjelang Pesta Sukan Yayasan SeMalaysia (PESAYA) ke-14 yang bakal diadakan pada 10 hingga 19 Februari ini, satu sesi mesyuarat melibatkan 13 yayasan negeri terlibat telah diadakan di Sarawak, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa PESAYA Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Mohd Farhan Azhari memaklumkan sesi mesyuarat itu diadakan bagi menjelaskan persediaan yang telah dilakukan oleh pihak tuan rumah, negeri Sarawak.
“Pada sesi mesyuarat yang diadakan selama tiga hari iaitu 3 dan 4 Januari lalu, kami diberi penerangan berkenaan lokasi permainan, tempat tinggal atlet dan jurulatih serta prosedur ketika PESAYA berlangsung dan sesi pengundian penetapan 13 kumpulan negeri terlibat.
“Kami turut dimaklumkan bahawa acara pembukaan akan berlangsung dengan penuh gilang-gemilang pada 10 Februari manakala acara penutup yang bertemakan batik pula akan diadakan pada 20 Februari ini di satu lokasi yang akan diberitahu kelak,” katanya.
Terdahulu, Mohd Farhan menghadiri sesi mesyuarat tersebut bersama Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun serta beberapa wakil jawatankuasa tertinggi PESAYA YWP. Berkongsi lanjut, fokus YWP ketika ini adalah memantapkan strategi dan stamina menerusi latihan kecergasan bersama jurulatih selain menumpukan aspek kekuatan fizikal dan mental atlet.
“Berdasarkan pemantauan, boleh dikatakan hampir 50 peratus persiapan akhir sedang giat dilakukan oleh setiap atlet bersama jurulatih pasukan. Latihan kami di sini bukan sahaja merangkumi aspek fizikal, mental dan kecergasan pemain bahkan pemantapan strategi permainan turut menjadi fokus utama.
“Dengan adanya latihan berterusan menerusi bantuan daripada jurulatih, insya-Allah para atlet bersedia sekali gus menyasarkan sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir atau membawa pulang lima pingat daripada 11 acara yang disertai,” katanya.
Tambahnya lagi, lima sukan yang menjadi sasaran pingat adalah boling, futsal wanita, esports, dart dan badminton manakala acara lain turut diharapkan memberi saingan sengit sehingga ke peringkat separuh akhir.
“Walau bagaimanapun, empat yayasan yang dijangka bakal memberi saingan sengit berdasarkan edisi pada tahun sebelum ini adalah Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak,” ujarnya kepada Wilayahku.
Comments