EXIM Bank Sumbang RM37,190 Perkasa Fasiliti PREPKOM Yayasan Wilayah Persekutuan
- Yayasan Wilayah Persekutuan
- 6 days ago
- 1 min read

KUALA LUMPUR, 8 OKTOBER 2025 (RABU) – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini menerima sumbangan berjumlah RM37,190 daripada EXIM Bank Malaysia Berhad (EXIM Bank) bagi tujuan menaik taraf kemudahan fasiliti di 10 Pusat Pemerkasaan Pendidikan & Komuniti (PREPKOM) di bawah seliaan YWP.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah berlangsung di PREPKOM PPR Kg. Limau, Blok 94, Jalan Kampung Pasir, 59200 Kuala Lumpur, dari jam 3.00 petang hingga 4.30 petang.
Sumbangan ini akan digunakan bagi penyediaan papan putih (whiteboard), projektor, skrin projektor dan pembesar suara mudah alih bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran serta keselesaan pengguna di semua PREPKOM terlibat.
PREPKOM diwujudkan oleh YWP sebagai pusat komuniti setempat yang memberi fokus kepada pembelajaran secara santai, selesa dan inklusif. Selain ruang pembelajaran, PREPKOM turut berfungsi sebagai hab komuniti yang menyediakan mini perpustakaan, komputer, akses internet serta perkhidmatan sosial seperti iWheelChair untuk manfaat masyarakat setempat.
Setakat ini, terdapat 10 lokasi PREPKOM di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar Kuala Lumpur meliputi Parlimen Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Setiawangsa, Cheras dan Wangsa Maju. Antara aktiviti yang dijalankan ialah kelas tuisyen SPM, kelas asas 3M (Membaca, Menulis & Mengira), kelas mengaji serta pelbagai aktiviti komuniti yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
YWP merakamkan penghargaan kepada EXIM Bank atas komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat bandar.
YWP berharap pelbagai agensi lain untuk turut sama menyumbang kepada pembangunan komuniti di Wilayah Persekutuan.
Dengan kerjasama strategik seperti ini, PREPKOM diyakini akan terus berkembang sebagai platform ilmu, motivasi dan pembangunan modal insan yang melahirkan generasi lebih berdaya saing.
Comments