top of page

Hadiah paling bermakna buat Zikrul selepas kemalangan

KEMALANGAN yang berlaku pada petang Hari Raya Aidiladha lalu telah mengakibatkan saraf di bahagian bahu kiri Zikrul Ariff Che Ani, putus di samping beberapa kecederaan lain yang dialaminya.


Namun bagi remaja berusia 17 tahun itu, kemalangan yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri, oleh itu dia menzahirkan kesyukuran kerana masih mampu meneruskan kehidupan demi mengejar impian serta cita-cita untuk menuntut di menara gading.


“Apabila dihadiahkan sebuah komputer riba, saya sememangnya tidak menyangka kerana saya hanya rakyat biasa dan mendapat hadiah daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.


“Saya akan memanfaatkan pemberian ini dengan sebaik-baiknya seperti yang diharapkan Tan Sri Annuar Musa,” katanya kepada Wilayahku.


Bercerita lanjut, Zikrul berkata, dia hanya mengetahui perkara tentang pemberian tersebut apabila dihubungi pihak Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).


“Sejujurnya, saya merasakan ini adalah hadiah yang paling berharga pernah saya terima dan ia pula berlaku ketika sedang berehat selepas kemalangan.


“Tambah mengejutkan, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun pula yang menghantar sendiri kepada saya di rumah mewakili menteri,” katanya.


Dia turut bersyukur apabila ditawarkan tempat bagi mengikuti kelas tambahan anjuran YWP khusus untuk murid yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.


“Saya menganggap bahawa ini merupakan hadiah yang sangat bernilai dan sumbangan daripada YWP ini banyak membantu untuk saya mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya.


Kisah Zikrul Ariff ­mendapat perhatian seorang guru yang mengajarnya dan ia kemudian dipanjangkan kepada pengetahuan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini.


Terdahulu, Annuar memuji sikap keprihatinan dan kecaknaan guru tersebut yang mengambil berat mengenai pelajarnya.


“Saya terima WhatsApp ­daripada seorang guru tentang muridnya yang ditimpa kemalangan dan ­muridnya memerlukan bantuan.


“Guru ini menunjukkan sikap cakna, prihatin dan mengambil ­berat hal murid. Ini satu contoh yang baik,” ciapnya di Twitter ­pada Rabu.


Beliau yang juga Pengerusi YWP turut mendoakan agar Zikrul cepat sembuh dan memanfaatkan hadiah tersebut untuk tujuan pembelajaran. - AZLAN ZAMBRY

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page