Haiza bangga semangat sukarelawan PriVo
USAHA Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mewujudkan Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) mendapat pujian ramai apabila langkah ini memudahkan proses vaksinasi dilaksanakan di Wilayah Persekutuan.
Haiza Hanafi,41, adalah antara selebriti yang mengagumi pengorbanan sukarelawan dalam membantu kerajaan memerangi COVID-19.
“Ini peluang yang bagus untuk semua terutamanya mereka yang pernah bekerja sebagai pramugari atau pramugara.
“Apabila mereka sertai program sukarelawan, sudah tentu mereka boleh memberikan yang terbaik kerana pengalaman mereka berkomunikasi dengan ramai orang sebelum ini.
“Jadi, khidmat mereka di awan biru dulu boleh diteruskan dengan menjadi sukarelawan membantu masyarakat dalam sama-sama memerangi COVID-19,” jelas Haiza yang memuji semangat sukarelawan.
Bagi Haiza, sukarelawan seperti PriVo harus dihargai jasa mereka kerana telah meringankan beban para petugas barisan hadapan.
“Saya melihat PriVo ini memainkan peranan yang sangat penting di lokasi Vaksin Bergerak.
"Proses pemvaksinan berjalan lancar dengan adanya mereka yang membantu para petugas barisan hadapan dari awal hingga tamat sesi pemvaksinan.
“Bayangkan, agak sukar untuk petugas barisan hadapan melaksanakan tanggungjawab mereka jika program ini tidak melibatkan sukarelawan.
“Saya bangga melihat ramai sukarelawan sanggup turun padang untuk membantu dalam menerangi COVID-19. Ini secara tak langsung menunjukkan warga wilayah saling mengambil berat antara satu sama lain,” ujar Haiza yang popular dengan lagu dangdut berjudul Mantan Isterimu.
Pasal kerjaya nyanyian, Haiza berharap pandemik COVID-19 segera berakhir agar kerjaya nyanyian dapat diteruskan.
“Dalam musim pandemik ni, semua pun tahu acara berkaitan persembahan terbuka tidak dibenarkan. Jadi selepas selesai tugas sebagai penyampai radio Kool FM, terus balik rumah.
“Namun tidak dinafikan, seperti mana orang lain, saya juga terkesan dengan situasi sekarang. Iyalah.. apabila kita sudah berkeluarga, sudah tentu kita mempunyai komitmen yang besar.
“Walaupun suami dan isteri bekerja, mereka tetap akan rasa kesannya sebab sudah tidak sama situasinya seperti dulu.
“Mahu atau tidak, apa pun jua keadaan kita perlu terus berjalan dan berusaha untuk mencari rezeki.
“Alhamdulillah.. Allah bagi rezeki kepada saya dalam cabang yang lain juga iaitu sebagai penyampai radio. Sedikit sebanyak bolehlah ‘bernafas’ dan menampung kehidupan,” ujar Haiza lagi.
Comments