Kementerian Wilayah batal konsep gantian bazar Ramadan
Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan membatalkan cadangan pelaksanaan konsep gantian bazar Ramadan yang dijadual dilaksanakan di bawah kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya sebelum ini.
Menteri, Tan Sri Annuar Musa, berkata pembatalan itu susulan keputusan kerajaan yang tidak membenarkan pelaksanaan bazar sedemikian pada Ramadan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pembatalan konsep gantian bazar Ramadan yang dicadangkan pihak kementerian sebelum ini membabitkan pandu lalu, bungkus dan ambil (pack & pick).
"Justeru saya berharap penjaja dapat memahami keadaan ini yang tidak mengizinkan kita menjalankan perniagaan maka dengan keputusan dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) saya mengumumkan semua program dicadangkan pihak kementerian dibatalkan.
"Saya berharap kita dapat melalui bulan Ramadan ini dalam suasana yang lebih berhati-hati dan terus menjayakan PKP selain memohon keberkatan bulan Ramadan supaya masalah ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin," katanya melalui sidang media, di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan pada 8 April lalu mengumumkan pelaksanaan tiga konsep gantian bazar Ramadan selepas tiada bazar secara fizikal dilaksanakan akibat COVID-19.
Beliau berkata mengulas pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa keputusan tidak membenarkan pelaksanaan bazar berkenaan.
Comments