top of page

Kemurungan meningkat, Klinik Kesihatan Mental Prihatin dibuka berterusan

MENYEDARI peningkatan kes bunuh diri dan pesakit kemurungan yang berpunca daripada tekanan hidup, Klinik Kesihatan Mental RumahPrihatin@GrandSeasons akan beroperasi secara berterusan.


Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, individu yang ingin mendapatkan bantuan dan khidmat pakar juga boleh datang terus ke lokasi berkenaan atau menghubungi nombor bantuan yang disediakan.


“Kita juga ada ‘helpline’ dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang berhubung terus memberi maklum balas atau bawa orang itu kepada kita.


“Kita ada keluarkan jadual dan siapa yang bertugas, (klinik) dibuka sepanjang hari. Kita ada beberapa bilik konsultasi dan beberapa kaedah bimbingan, kaunseling yang telah ditetapkan oleh pakar-pakar,” jelas beliau.


Menurut Annuar, langkah itu disediakan selepas mengambil kira keadaan semasa termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan orang ramai berkomunikasi antara satu sama lain secara bersemuka bagi meluahkan tekanan hidup.


Ujar beliau, di Rumah Prihatin juga, pihaknya turut menyediakan rangkaian psikatri dan kaunselor bagi membantu mereka yang memerlukan selain membuka perkhidmatan secara atas talian.


Tambahnya, tindakan susulan akan dilakukan mengikut kaedah yang bersesuaian.


2 Julai lalu, KWP memaklumkan pihaknya sedang merangka mekanisme dan pendekatan yang lebih efektif untuk membantu warga Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur yang mengalami masalah kesihatan mental serius serta perlu ditangani segera selepas mendapati peningkatan masalah itu yang disebabkan kesempitan hidup.


Ekoran itu, penubuhan Klinik Kesihatan Mental diperkenal dan dipusatkan di RumahPrihatin@GrandSeasons bersama lima lagi elemen lain yang turut diselaraskan di situ. – NAZWIN NAZRI


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page