Khidmat Vaksinasi Prihatin bantu capai hasrat kerajaan – Hasnol

RUMAHPrihatin@GrandSeasons menyediakan pelbagai Khidmat kepada warga Wilayah Persekutuan.Antaranya adalah Khidmat Vaksinasi Prihatin (KVP).
KVP adalah perkhidmatan vaksinasi untuk golongan warga emas 60 tahun ke atas, Orang Kurang Upaya (OKU), gelandangan, penjaja dan juga mereka yang memerlukan bantuan khas dalam usaha memperkasakan lagi Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Bagi penyanyi lagu Lagu Ku Untuk Mu, Hasnol, 51, KVP mampu membantu hasrat kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan masyarakat.
“Seperti mana yang kita semua tahu, vaksin COVID-19 adalah untuk mengawal penularan wabak berbahaya ini. Apabila semakin ramai menerima suntikan vaksin, maka semakin berkuranglah risiko jangkitan COVID-19.
“Alhamdulillah, jika dulu ada sesetengah pihak yang meragui kepentingan vaksin, sekarang ramai yang tidak sabar malah tertunggu-tunggu tarikh janji temu vaksin mereka.
“Jadi KVP ini sangat penting kepada masyarakat. Dengan adanya RumahPrihatin@GrandSeasons, proses vaksin untuk warga wilayah menjadi semakin cepat dan tidak perlu tunggu lama.
“Lagi pun usaha ini memang selaras dengan hasrat kerajaan mahukan seramai mungkin rakyat mendapatkan vaksin. KPV adalah salah satu cara untuk mencapai target ini.
“Jadi, warga wilayah seharusnya memanfaatkan kemudahan yang kerajaan sediakan ini demi kebaikan semua,” jelasnya.
RumahPrihatin@GrandSeasons, Kuala Lumpur yang dilaksanakan baru-baru ini ditubuhkan bagi membantu meringankan beban rakyat terutamanya warga wilayah yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Comments