KUNJUNGAN HORMAT YWP KE PKB: MEMPERKASA KOMUNITI DI JANTUNG WARISAN KUALA LUMPUR
Feb 27
2 min read
15 Disember 2025 – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah mengadakan Kunjungan Hormat ke Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) hari ini bertujuan mempereratkan hubungan strategik antara kedua-dua agensi.
Delegasi YWP diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBrs. Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed. Turut serta dalam delegasi ini ialah YBhg. Datin Ts. Dr. Ida Harlina (Pengurus Kanan Jabatan Perhubungan Korporat), En. Kamaruzaman bin Mustapha (Pengurus Kanan Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan - SPWP) dan Puan Norezaty Syuhada binti Jamil (Pengurus Jabatan Komersial & Pendanaan).
Ketibaan delegasi disambut baik oleh YBrs. Dr. Khairul Nizam bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif PKB. Turut hadir bersama beliau adalah barisan pengurusan PKB yang terdiri daripada En. Shahrul Ezad bin Samsudin (Pengarah Bhg. Pengurusan & Komunikasi Korporat), En. Mohd Khire bin Abdul Latif (Seksyen Pengurusan Tanah), Pn. Naziah binti Muhammad (Seksyen Pentadbiran), En. Haris bin Ahmed Siam (Seksyen Teknologi Maklumat), Pn. Norhafizah binti Mohd Sabri (Seksyen Pengurusan Sumber Manusia), Pn. Norshazerina Fazleen binti Mohd Sham (Seksyen Kewangan) serta Cik Wannur Hezlena binti Wan Abdullah (Seksyen Komunikasi Korporat).
Intipati perbincangan memfokuskan kepada potensi kerjasama di antara YWP dan PKB, khususnya bagi pelaksanaan program-program pendidikan, komuniti dan sosial yang memberi manfaat terus kepada penduduk di kawasan Kampong Bharu.
YWP menyedari bahawa Kampung Baru bukan hanya sebuah penempatan ia adalah simbol budaya dan identiti Melayu yang mempamerkan ketahanan komuniti tradisional di tengah-tengah kepesatan pembangunan ekonomi dan urban.
Sebagai penempatan Melayu bersejarah yang ditubuhkan lebih 120 tahun lalu di jantung Kuala Lumpur, Kampung Baru memikul peranan besar dalam menjaga kelangsungan tradisi. Hingga kini, ia terus berdiri teguh sebagai lambang warisan budaya serta identiti komuniti Melayu di Wilayah Persekutuan. Semoga sinergi antara YWP dan PKB ini dapat terus memelihara warisan ini sambil memacu kesejahteraan komuniti setempat.
Comments