top of page

Majlis Penyerahan Bantuan Back To School & Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP 2024




4 April 2024, Kuala Lumpur | Kira-kira 3,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di Kuala Lumpur menerima bantuan menerusi program Back To School Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tahun ini. YWP dalam satu kenyataan berkata, sumbangan tersebut akan memanfaatkan pelajar terpilih dengan peruntukan sebanyak RM300,000.


"Tujuan kami mengadakan program ini adalah untuk membantu mengurangkan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak di awal tahun sesi persekolahan bermula. "Di samping itu, ia juga untuk membantu pelajar kurang berkemampuan agar tidak tercicir dalam mengikuti sesi persekolahan dengan sempurna," katanya.


Menurut YWP, sumbangan tersebut daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tabung Haji melalui Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP).


Sementara itu, ibu kepada salah seorang penerima, Ismaroli Othman, 60, meluahkan rasa syukur kerana anaknya, Rafa Syazirah Abdul Hadi, 9. terpilih menerima bantuan.


"Alhamdulillah, hari ini anak saya menerima bantuan tunai yang merangkumi bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan untuk pembelian buku sekolah atau baju sukan.


"Ini merupakan kali pertama dia menerima sumbangan ini dan ia juga sangatlah membantu golongan yang memerlukan seperti kami," ujarnya.


Tambahnya dia dihimpit kesusahan sejak suaminya mendapat serangan jantung sekali gus pendapatan juga menjadi tidak menentu.


"Saya seorang suri rumah jadi nak tampung perbelanjaan dengan duit PERKESO sebanyak RM1,500 sebulan tidak cukup.


"Dengan sumbangan ini, dapatlah saya menambah sedikit kewangan untuk membayar keperluan tertentu. Terima kasih YWP," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Back To School Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa.


Majlis penyerahan sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Nurin Aina.


Turut hadir, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ismadi Sakirin; Penolong Pengurus Besar Khidmat Pelanggan dan Ejen Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Khalid Mohamed dan Pengarah Tabung Haji Wilayah Persekutuan, Mohd Ezham Leman serta Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj. - WILAYAHKU

Kommentare


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page