Majlis Penyerahan Bantuan Skim YWP: RM37,000 Disalurkan kepada 64 Penerima
- Yayasan Wilayah Persekutuan
- Oct 2
- 1 min read
Kuala Lumpur, 1 Oktober 2025 – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terus memperkukuh komitmen membantu masyarakat dengan menganjurkan Majlis Penyerahan Bantuan Skim Bantuan Awal IPTA/IPTS, Skim Khairat Kematian dan Skim Bantuan Khas (Perubatan) bagi Kumpulan 8 Tahun 2025 yang berlangsung hari ini.
Majlis penyerahan telah dilaksanakan dalam dua sesi. Pada sebelah pagi, penyerahan disempurnakan oleh En. Zahrulail bin Abdul Rahman, Pengurus Kanan (Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif) YWP, manakala pada sebelah petang jam 2.30 petang, penyerahan diteruskan oleh YBrs. Pn. Hajjah Rohani binti Hussin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP.
Secara keseluruhan, YWP menyalurkan bantuan berjumlah RM37,000.00 kepada seramai 64 penerima manfaat yang terdiri daripada:
50 pelajar menerima Skim Bantuan Awal IPTA/IPTS sebanyak RM700 setiap seorang.
13 penerima menerima Skim Bantuan Khas (Perubatan) sebanyak RM500 setiap seorang.
1 penerima menerima Skim Khairat Kematian berjumlah RM1,000.
YWP dalam kenyataannya memaklumkan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meringankan beban kewangan isi rumah berpendapatan rendah, di samping memberi peluang kepada anak-anak muda melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan tinggi.
“Pendidikan adalah kunci untuk mengubah kehidupan. Melalui skim bantuan ini, YWP berharap pelajar dapat memulakan pengajian tanpa terbeban dengan kekangan kewangan. Manakala bantuan khas perubatan dan khairat kematian pula menjadi bukti keprihatinan YWP terhadap masyarakat yang diuji,” kata En. Zahrulail ketika berucap dalam sesi pagi.
Sementara itu, Pn. Hajjah Rohani dalam ucapannya menekankan bahawa pelaksanaan skim ini mencerminkan iltizam YWP untuk memastikan tiada golongan masyarakat di Wilayah Persekutuan yang ketinggalan dalam arus pembangunan dan kebajikan.
Beliau turut menzahirkan tahniah kepada semua penerima manfaat, serta menasihati agar bantuan digunakan sebaik-baiknya demi manfaat diri, keluarga dan masyarakat.