MAJLIS PENYERAHAN DERMASISWA IPTA YWP TAHUN 202516 FEBRUARI 2025


Kuala Lumpur, 16 Februari 2025 – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Dermasiswa IPTA YWP Tahun 2025 bertempat di Ruang Mayor's Courtyard, Lot 11 Jalan Tangsi, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Yang Berhormat Ir. Ts. Tuan Zahir bin Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, YBrs. Cik Nur Qistina binti Md Yusof selaku wakil Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), YBhg. Tuan Muhamad Mustafa bin Ghazanfar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP dan YBhg. Puan Rohani binti Hussin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP.
Program Dermasiswa IPTA YWP merupakan salah satu inisiatif YWP dalam usaha membantu pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan di Wilayah Persekutuan melanjutkan pengajian secara sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Skim ini merangkumi pelajar di peringkat Sijil, Diploma, dan Ijazah Sarjana Muda, dengan tujuan memastikan mereka tidak terbeban dengan masalah kewangan dalam menampung kos sara hidup dan yuran pengajian.
Pada tahun ini, seramai 103 pelajar IPTA telah menerima manfaat daripada skim ini, dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM257,000. Setiap penerima menerima sumbangan antara RM2,000 hingga RM3,000 secara one-off. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan YWP dalam membangunkan modal insan berkualiti dan berdaya saing, selaras dengan komitmen YWP sejak penubuhannya pada tahun 1986 dalam menyokong inisiatif pembangunan sosial, pendidikan, dan kebajikan.
Selain daripada Dermasiswa IPTA, majlis ini turut meyampaikan bantuan di bawah Skim Prihatin YWP, iaitu bantuan khairat kematian kepada waris ahli Skim Prihatin. Sejak dilancarkan pada tahun 2012, skim ini telah memberi manfaat kepada 4,621 individu dan pada hari ini, seramai 15 waris telah menerima bantuan berjumlah RM13,500 sebagai sebahagian daripada usaha YWP untuk meringankan beban kewangan waris dalam menguruskan pengebumian dan hal-hal berkaitan.
YWP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pusat Pengurusan Zakat (PPZ), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta semua pihak yang telah membantu menjayakan majlis ini, termasuk pihak media yang turut memainkan peranan dalam menyebarluaskan inisiatif ini kepada masyarakat.
YWP terus komited dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat serta membantu golongan yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan yang lebih baik.
Comments