Pasukan khas urus gelandangan di KL
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menubuhkan satu pasukan petugas khas, khusus bagi menguruskan hal ehwal gelandangan di ibu negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.
Menteri, Tan Sri Annuar Musa, berkata antara fokus utama pasukan itu adalah memastikan dua asrama khas yang sedang dibina untuk gelandangan, siap pada waktunya.
Selain itu, katanya, pasukan berkenaan bertanggungjawab mengurus hal ehwal kebajikan dan kesihatan gelandangan, di samping menyelaras aktiviti bersama badan bukan kerajaan (NGO).
"Ada dua asrama sedang disiapkan yang boleh menempatkan sekitar 600 orang, satu daripadanya dibina dengan kerjasama sebuah syarikat yang akan turut memberi pekerjaan kepada gelandangan ini.
"Asrama kedua disiapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang akan turut memberi pekerjaan kepada gelandangan terpilih.
"Pasukan petugas ini juga perlu merangka program membimbing mereka sebelum masuk ke alam pekerjaan, bersama kaunselor serta jurulatih daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya ketika siaran langsung menerusi Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar memaklumkan jumlah gelandangan di ibu negara yang ditempatkan secara sementara di beberapa dewan komuniti, kini sudah mencecah lebih 800 orang.
Jelasnya, keputusan mewujudkan pasukan petugas khas itu adalah bagi memastikan keperluan dan kebajikan gelandangan yang ramai diberi perhatian dan tidak terabai.
“Saya terfikir dalam bulan Ramadan akan datang, bagaimana gelandangan ini mahu berbuka, bersahur, serta keperluan lain seperti saringan kesihatan, mengisi masa lapang mereka, kaunseling dan bekalan makanan.
“Keperluan yang banyak ini tidak memadai jika dibincangkan sekali di peringkat jawatankuasa kerja, maka saya putuskan perlu ada satu pasukan berasingan untuk menjaga hal ehwal gelandangan,” katanya.
Comments