top of page

Pelajar tahfiz, anak yatim serikan Majlis Hari Raya Aidilfitri YWP


MERIAH. Itulah gambaran Majlis Hari Raya Aidilfitri Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang berlangsung pada (Selasa) lalu di Manhattan Ballroom bertempat di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.


Seramai 600 tetamu hadir memeriahkan program yang bermula seawal pukul 12.30 tengah hari dan berakhir kira-kira pukul tiga petang yang dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Sambil menikmati hidangan Aidilfitri dan mendengar celoteh pengacara jemputan yang juga merupakan penyanyi dangdut popular iaitu Haiza Hanafi, tetamu juga turut dihiburkan dengan persembahan artis-artis popular tanah air.


Antaranya Khai Bahar, Baby Shima, Shiha Zikir, Adam AF2, Ifa Raziah, Zaiton Sameon, Datin Salwa Ab Rahman dan Datin Alyah yang menyanyikan lagu-lagu raya dengan iringan muzik kombo Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).



Program yang berlangsung dalam suasana gilang-gemilang itu juga turut diisi dengan penyerahan bantuan kepada warga Wilayah Persekutuan seperti Penyerahan Skim Bantuan Awal IPT, Penyerahan Bantuan Pemakan Sekolah Menengah, Penyerahan Biasiswa Sekolah Menengah (SSPN-i-PTPTN) serta Sumbangan Alat Pendengaran yang disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan.



Selain itu, YWP turut memberi sumbangan hari raya kepada 70 pelajar tahfiz dan 20 orang anak-anak yatim. Kesemua bantuan dan sumbangan yang diberikan ditaja sepenuhnya oleh YWP.


Antara tetamu kehormat yang turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Pengerusi Perbadanan Labuan; Datuk Seri Amir Hussein; Pengerusi Perbadanan Kampong Baru, Datuk Affendi Zahari; dan Naib Presiden Kanan Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud. -WILAYAHKU

コメント


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page