top of page

PENDIDIKAN TUNJANG PEMBANGUNAN NEGARA DAN TAMADUN



KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2024 – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menganjurkan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang YWP 2024, bertempat di Rumah Puspanita, Dewan Tun Dr Siti Hasmah, Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan.


Majlis ini bertujuan untuk meraikan pelajar cemerlang dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah mencapai kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2023. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan semangat pelajar lain agar terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum.


Bantuan sebanyak RM457,000.00 diagihkan kepada 429 pelajar yang menerima bantuan pendidikan merangkumi pelbagai kategori dan skim, seperti Anugerah Pelajar Cemerlang, Skim Biasiswa IPTA, Skim Bantuan Awal ke IPT, Skim Biasiswa Sekolah Menengah dan Dermasiswa Sekolah Menengah.


Majlis ini diadakan selaras dengan usaha YWP untuk terus menyokong pendidikan sebagai tunjang pembangunan negara. Pendidikan dilihat sebagai asas penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu, inklusif dan adil, serta sebagai salah satu alat untuk mengangkat taraf kehidupan masyarakat, khususnya di kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.


Fokus pendidikan juga kini tertumpu kepada bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), yang menawarkan peluang pekerjaan yang lebih besar dalam industri masa kini. Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM7.5 bilion dalam Belanjawan 2025 untuk memperkasa TVET, dengan tujuan melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang mahir dan bersedia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.




Melangkah ke tahun 2025, YWP berhasrat untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta, NGO, dan individu prihatin dalam usaha meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan.

YWP berharap kejayaan para pelajar ini akan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi di masa hadapan.

Comments


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page