top of page

Penguat kuasa DBKL wira tidak didendang

KUALA LUMPUR – Di tengah ancaman penularan wabak Covid-19, kira-kira 2,000 anggota dan pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap meneruskan tanggungjawab mereka dalam memastikan keadaan di ibu kota tetap selamat.

Penguat kuasa DBKL yang menjadi anggota barisan hadapan menunjukkan dedikasi dalam memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 hingga 31 Mac ini dapat dipatuhi warga kota dengan memastikan mereka dapat berada di rumah masing-masing.

Anggota penguat kuasa turut menjalankan pemeriksaan bagi memastikan premis perniagaan ditutup bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dalam tempoh perintah tersebut.

Bagi melihat sendiri bagaimana anggota penguat kuasa DBKL menjalankan tugas mereka, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah turun melawat ke Bilik Gerakan Ops Pantau PKP Covid-19, DBKL pada Khamis lalu.

Melalui taklimat yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, DBKL dilihat mempunyai  kemampuan untuk memantau kepatuhan warga Kuala Lumpur terhadap Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

Lawatan itu juga melihat bagaimana DBKL boleh membantu warga Kuala Lumpur yang berhadapan dengan situasi kecemasan seperti kebakaran, banjir dan bencana alam yang lain sepanjang tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan.

Selepas selesai taklimat selama hampir dua jam, Annuar mengambil kesempatan berjumpa dengan pegawai penguat kuasa DBKL yang bertugas di sebelah malam dan meninjau secara dekat persiapan mereka, termasuk nasi yang telah dibungkus sebagai bekal sewaktu menjalankan tugas.

Annuar turut memberikan kata-kata semangat agar mereka bersungguh-sungguh memastikan warga Kuala Lumpur mematuhi Peraturan Kawalan Pergerakan, seterusnya menyelamatkan negara daripada bahaya penularan wabak Covid-19.

“Sesungguhnya mereka adalah wira yang tidak didendang yang sanggup membahayakan diri demi menjaga nyawa warga Kuala Lumpur.

“Sentiasalah kita ingat, bahawa di saat kita bersenang di rumah ada wira yang tidak didendang, terus mengambil risiko. Sokonglah mereka,” kata Annuar. – WILAYAHKU

Comentarios


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075 | WhatsApp : +6019-3483073

Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my

bottom of page