Penjaja Bazar Ramadan tidak tuntut bayaran fi automatik boleh niaga tahun depan

KUALA LUMPUR – Selaras dengan pembatalan penganjuran bazar Ramadan tahun ini bagi mengekang wabak Covid-19, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menawarkan dua pilihan kepada penjaja-penjaja bazar tersebut sama ada mereka ingin menuntut kembali bayaran fi atau dibawa ke tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, penjaja-penjaja yang berdaftar untuk berniaga di Bazar Aidilfitri @ Jalan Raja dan Bazar Iftar Ramadan 2020 di 65 lokasi diberikan peluang memilih salah satu opsyen yang dicadangkan oleh DBKL.

“Para penjaja yang tidak menuntut sebarang bayaran fi lesen, caj perkhidmatan, pembersihan, sewa tapak dan wang cagaran (mana yang berkaitan) dan yang telah menjelaskan bayaran tersebut kepada DBKL adalah layak secara automatik untuk berniaga di Bazar Aidilfitri @ Jalan Raja dan Bazar Iftar Ramadan atau bazar yang setaraf dengannya pada bulan Ramadan tahun 2021.

“Seterusnya, semua fi lesen caj perkhidmatan, pembersihan, sewa tapak dan wang cagaran (mana yang berkaitan) yang telah dibayar kepada DBKL tidak akan dipulangkan dan dibawa ke tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Azmir berkata, opsyen kedua pula ialah peniaga boleh menuntut kembali semua bayaran fi lesen, caj perkhidmatan/pembersihan, sewa tapak dan wang cagaran (mana yang berkaitan) yang telah dibayar kepada DBKL.

“Mereka yang memilih opsyen ini tidak layak untuk berniaga di Bazar Aidilfitri @ Jalan Raja dan Iftar Ramadan tahun 2021,” katanya.

Tambahnya, DBKL akan memaklumkan cara permohonan serta proses pemulangan sekiranya ada peniaga yang ingin menuntut bayaran fi tersebut.

“Mereka mesti memohon semuala sekiranya proses permohonan bazar berkaitan dibuka oleh pihak DBKL,” katanya.

Katanya, penjaja yang tidak membuat sebarang pilihan akan dianggap memilih opsyen  pertama dan tiada sebarang rayuan akan dilayan.

Khairul Azmir memberitahu, penjaja terlibat perlu memilih salah satu opsyen tersebut bermula 20 April, pukul 12 tengah hari sehingga 30 April melalui laman web http://elesen.dbkl.gov.my/ebazar dan sebarang pertanyaan, boleh emelkan kepada ebazar@dbkl.gov.my.

“Keputusan untuk memilih mana-mana opsyen sama ada satu atau dua yang telah dibuat oleh penjaja adalah muktamad dan tiada rayuan akan dilayan setelah opsyen tersebut dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Azmir berkata, sebarang bayaran yang telah dibuat terus kepada mana-mana persatuan penjaja sebagai penganjur Bazar Iftar Ramadan 2020, pihak penjaja perlu berurusan terus dengan pihak persatuan berkaitan.

“DBKL tidak terlibat dengan sebarang penerimaan mahupun pemulangan bayaran tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075 | WhatsApp : +6019-3483073

Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my