top of page

Program Kasih Ramadan YWP & BSN


KUALA LUMPUR, 24 Mac 2024 – Bulan Ramadhan Al-Mubarak merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan bagi seluruh umat Islam. Oleh yang demikian, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bekerjasama mengimarahkan bulan Ramadhan dengan pelbagai aktiviti kebajikan, pendidikan serta program keagamaan untuk golongan yang memerlukan di sekitar Kuala Lumpur.


Program kerjasama strategik melalui program "Kasih Ramadhan YWP-BSN" ditumpukan kepada pemberian makanan untuk berbuka puasa, bantuan kepada pelajar dan sumbangan barangan keperluan asas bagi menjalani bulan Ramadhan dengan lebih selesa.


Program dimulakan dengan Literasi Kewangan BSN “Ringgit Dijaga Komuniti Sejahtera” yang bertujuan membekalkan individu dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam menguruskan kewangan para peserta dengan lebih baik dan membuat keputusan kewangan yang lebih bijak. Program secara berkumpulan ini melibatkan 35 orang peserta dan mengambil masa selama 3 jam.


Program Kasih Ramadan YWP – BSN juga memberikan motivasi kepada 20 pelajar asnaf pilihan melalui penyerahan BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP). BSN SSP merupakan produk simpanan BSN yang mana pelanggan boleh menyertai Cabutan BSN SSP dan berpeluang memenangi pelbagai hadiah yang menarik. Seterusnya, program turut menghargai rakan-rakan strategik seperti surau/ masjid/persatuan penduduk serta NGO yang terlibat.


Program ini akan dilaksanakan di 4 (empat) buah kawasan sepanjang Ramadan dan turut melibatkan sumbangan untuk iftar jemaah di masjid/ surau yang dipilih. Untuk lokasi yang pertama, iaitu di Bandar Tun Razak, program akan dirasmikan oleh YB Dato' Seri Dr. Wan Azizah Binti Dr. Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga merupakan isteri kepada Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan.


Rakan strategik yang terlibat dalam program di Bandar Tun Razak ialah Pengurusan Masjid Zaid bin Thabit yang menjadi hos kepada lokasi serta Persatuan NGO Wadah Pencerdasan Umat Malaysia Wilayah Persekutuan yang turut memberi sumbangan bakul makanan Gerobok Kasih kepada 100 orang tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad.


Semoga dengan program sebaik Kasih Ramadhan YWP-BSN yang melibatkan pelbagai aktiviti dan sumbangan yang menyentuh pelbagai kategori asnaf, akan dapat menjadi contoh kerjasama strategik usaha CSR yang boleh diikuti oleh ramai pihak.

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page