PROGRAM PEMANTAPAN SOLAT & KLINIK FATIHAH
24 JULAI 2024, KUALA LUMPUR – Program yang dijangka akan mengurangkan kesalahan dan kesilapan tradisi pembacaan Al-Fatihah terutama di kalangan golongan muda telah dijalankan dengan penyertaan 180-220 peserta terdiri daripada murid terpilih tahun 5 dan 6 dan guru-guru pengiring daripada kesemua sekolah rendah di WP Kuala Lumpur.
Program Pemantapan Solat & Klinik Fatihah Peringkat WP Kuala Lumpur yang telah diadakan di Masjid ArRahah Bangsar South, Kg Kerinchi hari ini, merupakan program keempat dilaksanakan mengikut daerah Pendidikan iaitu Daerah Sentul, Keramat, Pudu dan Bangsar.
Program ini juga untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bacaan dan amalan yang sempurna dalam solat 5 waktu melalui sesi Pemantapan Solat yang dijalankan oleh Ustaz Profesor Dr Hasnan Kasan, pensyarah yang telah mempopularkan program kesempurnaan solat sejak lebih sepuluh tahun lalu.
Penerangan dan amali bermula daripada doa, wudhu dan kesempurnaannya sehingga selesai rukun solat. Klinik Fatihah, sesi kedua program diketuai oleh Puan Sri Hjh Hanifat Harun, Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia WP Kuala Lumpur (LKPIM WPKL).
Sesi ini memberi penekanan dalam menyempurnakan bacaan Al-Fatihah dalam Solat, melalui pembentangan digital dan peserta kemudian dibahagikan kepada kumpulan diketuai oleh Pembimbing yang akan membuat penilaian individu.
Program ini dianjurkan bersama oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia WP Kuala Lumpur (LKPIM WPKL) dengan Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur (JPWPKL), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Majlis Agama Islam WP (MAIWP), dengan rakan strategik Pergerakan Puteri Islam Malaysia WPKL, Kumpulan Pengajian Al-Quran Mengejar Cinta Illahi (MCI) dan Tenaga Pembimbing Tajwid Akademi Yayasan Nasyrul Quran Putrajaya.
Pada majlis penutup, YBhg. Datuk Seri Mahadi Bin Che Ngah , Timbalan Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan telah menyerahkan ‘mock cheque’ RM29,000 sebagai sumbangan pelaksanaan program pendidikan LKPIM WPKL yang dijalankan.
Turut hadir ke program ialah Pengarah Pendidikan JPWPKL Haji Roslan bin Abu Hassan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Hj Mohd Nizam Bin Haji Yahya, Pengerusi J/K Masjid ArRahah Tan Sri Md Nor bin Md Yusof, dan Setiausaha Agung Kehormat LKPIM Dr Wan Fauziah bt Meor Yahaya. LKPIM WPKL adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program dan aktiviti kebajikan melibatkan pergerakan komuniti wanita Islam, dengan berperanan untuk menerapkan nilai-nilai Islam di kalangan wanita dan keluarga mereka menuju ke arah satu masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia, maju dan berbakti kepada masyarakat.
Comments