top of page

PUSARA mudahkan proses pengebumian jenazah COVID-19 - Annuar

PUSAT Sehenti Sementara (PUSARA) yang berfungsi sepenuhnya pada 24 Julai ­lalu adalah untuk menguruskan jenazah pesakit COVID-19 dengan teratur dan sempurna susulan peningkatan kes kematian akibat wabak pada masa ini.


Justeru, bagi memenuhi tuntutan tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, waris jenazah diminta untuk membenarkan keutamaan urusan pengebumian dilakukan di tanah perkuburan yang telah ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).


“Ia bertujuan untuk memudahkan waris jenazah COVID-19 di samping menyegerakan proses pengkebumian dengan kemudahan sedia ada termasuk petugas yang menguruskannya secara berjadual.


“Saya merayu kepada keluarga jenazah COVID-19 untuk mengizinkan proses (pengebumian) dijalankan di dua tanah perkuburan yang ditetapkan di Kuala Lumpur iaitu di Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Batu Caves dan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat dan meninjau operasi PUSARA di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Jalan Raja Muda, Kampung Baru Ahad lalu.


Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail; Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Rohana Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun.


Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kasim dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Nordin Pauzi.


Dalam pada itu, Annuar turut menyatakan, waris yang mahu pengebumian di tanah ­perkuburan lain perlu berunding dengan pihak pengurusan terlibat kerana ia mungkin ada kekangan tertentu selain akan melambatkan proses.


Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, pengebumian di tanah perkuburan yang ditetapkan adalah lebih baik sekali gus mengelakkan ­berlakunya kluster di tempat seperti itu.


Mengulas lanjut, ujar beliau, bagi memudahkan operasi PUSARA, urusan logistik akan dikendalikan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pasukan sokongan daripada beberapa agensi serta sukarelawan akan melicinkan lagi operasi termasuk penglibatan JAWI dalam urusan jenazah Islam secara berjadual.


Kata Annuar, pihak kerajaan akan menambah satu lagi perkhidmatan untuk memudahkan waris mendapatkan bantuan tunai daripada NADMA sebanyak RM5,000. - Azlan Zambry

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page