Rumah Prihatin: Diharap ramai tampil membantu
RUMAHPrihatin@GrandSeasons yang diwujudkan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 semakin dikenali ramai.
Fungsinya yang bertujuan mengurangkan beban rakyat dalam mendepani cabaran ini khususnya warga Wilayah Persekutuan dilihat satu usaha yang bertepatan dengan situasi sekarang.
Namun, Rumah Prihatin ini masih memerlukan bantuan dalam pelbagai bentuk seperti kewangan, khidmat sukarelawan dan sebagainya.
Menurut Pengarah Pentadbiran dan Program Rumah Prihatin, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir, Rumah Prihatin memerlukan sokongan pihak luar untuk terus bergerak sebagai pusat sehenti keperluan masyarakat.
“Kami memerlukan bantuan semua pihak. Inisiatif Rumah Prihatin ini tidak mendapat bantuan daripada kerajaan. Kita bekerjasama antara satu sama lain dan kita mengharapkan orang lain turut sama dapat meringankan beban kawan-kawan yang terjejas akibat penularan pandemik ini,” jelasnya ketika ditemuramah oleh wartawan Buletin Utama, TV3, baru-baru ini.
RumahPrihatin@GrandSeasons, Kuala Lumpur yang dilaksanakan baru-baru ini ditubuhkan bagi membantu meringankan beban rakyat terutamanya warga wilayah yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Kementerian Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan bekerjasama dengan Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur menjadikan premis ini berkonsepkan hotel kebajikan.
Enam komponen utama yang ditawarkan oleh RumahPrihatin@GrandSeasons adalah Dapur Prihatin, Bilik Penginapan Prihatin, Klinik Kesihatan Mental Prihatin (KKMP), Khidmat Vaksinasi Prihatin (KVP), Pusat Gerakan Jejak Prihatin dan bank makanan.
Comments