Rumah Prihatin: Kepakaran kakitangan Hotel Pulse Grande Putrajaya bantu operasi
KEPAKARAN dalam bidang perhotelan membolehkan RumahPrihatin@GrandSeasons yang diilhamkan Menteri Wilayah Persekutuan dikendalikan dengan sebaiknya oleh pasukan Hotel Pulse Grande Putrajaya.
Pengurus Besarnya yang juga Pengarah Hospitaliti Rumah Prihatin, Wan Mohd Azhar Wan Ahmad Shuky berkata, seramai 50 kakitangan Hotel Pulse Grande Putrajaya dibawa untuk melancarkan pengoperasian Rumah Prihatin.
“Kita bantu dari sudut persiapan dan mereka yang terlibat mempunyai kepakaran masing-masing seperti juruteknik, pengurusan makanan, chef dan pekerja pembersihan," katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat beberapa penambahbaikkan dilakukan berikutan hotel yang dijadikan markas penyaluran bantuan di Kuala Lumpur itu sudah tidak diguna pakai selama dua tahun.
Ujarnya, beberapa peralatan dan mesin terpaksa dipinjam dari Hotel Pulse Grande Putrajaya manakala sesetengahnya diperoleh daripada pihak luar antaranya kain dan penyapu.
Katanya, sumbangan tunai yang diterima pula akan digunakan untuk membeli keperluan yang tidak lengkap seperti bahan pencuci.
Berkata lanjut, dia memberitahu, dengan kekuatan yang ada di samping penyertaan pasukan Sukarelawan Prihatin (PriVo), proses persiapan yang dilakukan berjalan lancar sekali gus menjadikan Rumah Prihatin sebagai lokasi selesa untuk kumpulan sasar.
“Kita latih sukarelawan dengan teknik yang betul seperti penggunaan barang yang bersesuaian dan cara untuk membersihkan bilik penginapan dengan cepat. Pertamanya, kita buat dari sudut perancangan yang berasaskan strategi.
“Sukarelawan yang mempunyai latar belakang berkaitan aspek diperlukan akan diserap terus kerana ia dapat memudah dan mempercepatkan proses persiapan,” katanya.
Wan Mohd Azhar menambah, setiap sukarelawan akan didedahkan dengan keseluruhan pengoperasian hotel sekali gus memberi pengalaman baharu kepada mereka khususnya dalam industri perhotelan.
Comments