Rumah Prihatin: “Tiada golongan yang tertinggal” - Zaizalnizam
ANTARA tujuan penting penubuhan RumahPrihatin@GrandSeasons adalah memastikan seluruh masyarakat di Wilayah Persekutuan tidak tercicir daripada mendapat manfaat yang ditawarkan oleh Rumah Prihatin.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun, semua rakyat yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19 akan diberikan bantuan.
“RumahPrihatin@GrandSeasons merupakan pusat kediaman yang berkonsepkan hotel kebajikan yang pertama di Malaysia, bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 khususnya kepada golongan miskin bandar di Wilayah Persekutuan.
“Rumah Prihatin ini merupakan satu inisiatif yang diilhamkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tan Sri Annuar Musa yang sentiasa peka terhadap kehidupan warga kota khususnya golongan miskin bandar dan B40.
“Beliau juga sering memikirkan cara-cara untuk menyelaraskan bantuan-bantuan agar tiada golongan yang tertinggal,” jelasnya ketika ditemuramah oleh pengacara rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 melalui sidang media secara maya, baru-baru ini.
Antara komponen penting di Rumah Prihatin ini adalah mengambil berat soal kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
Untuk itu, Rumah Prihatin menyediakan Khidmat Kesihatan Mental Prihatin (KKMP) kepada golongan yang mengalami gangguan emosi seperti depresi.
“Khidmat kesihatan mental di Rumah Prihatin ini dan kaunselingnya dilaksanakan secara outpatient secara perseorangan atau berkelompok.
“Ia dijalankan dengan penuh kerahsiaan bagi menjamin keselesaan dan keyakinan pesakit khususnya yang sedang melalui tekanan hidup akibat pandemik Covid-19.
“Khidmat kesihatan mental ini dibuat dengan kerjasama pelbagai NGO dan profesional-profesional kesihatan mental pelbagai tahap dari kaunselor, ahli psikologi, hinggalah ke pakar psikiatri mengikut keperluan rakyat,” ujar Zaizalnizam yang menganggap kes gangguan mental adalah perkara serius yang harus ditangani segera.
Zaizalnizam juga menjelaskan pelbagai cara atau teknik kaunseling yang dijalankan dalam KKMP.
“Khidmat ini menyediakan perkhidmatan seperti kaunseling individu, kaunseling keluarga, kaunseling kewangan, terapi seni, terapi rohani dan sesi Ruqyah, sesi bimbingan, kaunseling atas talian, dan kumpulan sokongan.
“Khidmat kesejahteraan mental juga secara atas talian bersama kaunselor-kaunselor berdaftar yang diketuai oleh Dr. Norhayati Omar. Terdapat juga kaunselor daripada kaum Cina dan India untuk keperluan mereka.
“Perkhidmatan kaunseling ini juga akan turut dibuat secara maya mengunakan live Facebook yang akan ke udara setiap hari Isnin pada pukul 9.00 malam, contohnya bersama Dr. Hazli Zakaria, Pakar Psikiatri Alaminda dan tetamu-tetamu kaunselor lain, yang akan membincangkan pelbagai topik semasa berkenaan dengan kesihatan,” ujarnya lagi.
Comments