Sinergi YWP-TNB: Program Back To School Ringankan Beban Warga Kerja Perbadanan Kampung Bharu
Feb 27
1 min read
KUALA LUMPUR, 7 Januari 2026 – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) meneruskan momentum keprihatinannya pada awal tahun ini dengan melaksanakan penyerahan sumbangan Program Back To School, khusus buat kakitangan Perbadanan Kampung Bharu (PKB) yang layak, hari ini.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini bertujuan untuk menyokong keperluan pendidikan anak-anak warga kerja di Wilayah Persekutuan, sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga terlibat menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu tidak lama lagi.
Majlis penyerahan baucer tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Y.Brs. Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed, bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Y.Brs. Dr. Khairul Nizam bin Othman.
Kehadiran kedua-dua pucuk pimpinan agensi ini melambangkan keakraban kerjasama di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dalam menjaga kebajikan warga kerja dan komuniti setempat.
Menurut Dr. Abdul Basir, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda besar YWP untuk memastikan aspek pendidikan sentiasa diberikan keutamaan.
"Melalui kolaborasi bersama rakan korporat seperti TNB, YWP berupaya meluaskan capaian bantuan pendidikan ini. Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan kepada anak-anak untuk melangkah ke sekolah dengan semangat baharu," ujar beliau.
Langkah proaktif ini juga selaras dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 yang menekankan nilai ihsan dan kesejahteraan rakyat. YWP kekal komited untuk bertindak sebagai nadi kebajikan yang sentiasa peka terhadap keperluan warga Wilayah, khususnya dalam memastikan kelangsungan pendidikan generasi masa depan.
Comments