Status OKU ‘lesen’ Zaiton Sameon miliki rumah PPR
Penyayi veteran, Zaiton Sameon, 66, yang kini berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori fizikal berharap permohonannnya untuk memiliki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR)di sekitar Kuala Lumpur menjadi kenyataan.Zaiton yang popular dengan lagu Menaruh Harapan menerima Kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, mengaku tidak mampu untuk menyewa rumah lagi.
“Saya kini menyewa di Ampang dan terikat dengan bayaran RM800 sebulan. Bagaimanapun, saya sering lewat melunaskan bayaran kerana masalah kewangan. “Saya tidak mempunyai pendapatan tetap, selain tawaran menyanyi yang semakin berkurangan. Sebelum ini, saya pernah memohon bantuan perumahan PPR, tetapi ditolak atas alasan tiada pendapatan tetap. “Alhamdulillah, status OKU ini melayakkan saya untuk mendapat bantuan tersebut,” katanya selepas majlis penyerahan kad OKU yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan, Che Samsuzuki Che Noh, petang tadi. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun dan Pengurus Besar Wilayahku, Azlan Abd. Aziz.
Zaiton layak menerima status OKU kategori fizikal selepas disahkan mengalami trauma kecederaan otak oleh pihak hospital berikutan kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya pada 1990. Anaknya, Azirwan Abu Bakar bagaimanapun, terkorban dalam nahas tersebut. Penyanyi itu juga memaklumkan, status tersebut memudahkannya untuk menjalani kehidupan yang selama ini serba kekurangan kerana tiada tempat bergantung. “Saya tidak punya siapa-siapa dan hanya bergantung harap kepada anak angkat, Che Sikah Ismail yang menggalas tanggungjawab menjaga saya.
“Lega dengan pemberian status ini kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang saya tanggung selama ini,” katanya. Sementara itu, Che Samsuzuki memaklumkan, pemberian status tersebut berdasarkan pengesahan pihak hospital tentang keadaan penyanyi itu selepas pemeriksaan kesihatan dibuat.“Pihak hospital mengesahkan, Zaiton layak menerima status tersebut selepas pemeriksaan kesihatan ke atasnya dilakukan,” katanya. – WILAYAHKU
Comments