Tiga aspek pastikan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan – Annuar

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung wabak Covid-19, Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan menggariskan tiga aspek utama yang akan dipantau Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) sepanjang tempoh pelaksanaannya.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah pertama yang dilakukan adalah agensi terlibat memberi kefahaman kepada rakyat tentang bahaya wabak Covid-19 termasuk bagaimana cara merebak dan mengawalnya.

“Ini kerana, masih ramai rakyat di luar sana yang ambil mudah atau acuh-tak-acuh dengan wabak tersebut selain merasakan orang lain yang terlibat bukan mereka.

“Aspek kedua adalah, keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Jika ia difahami, maka akan lebih terjamin serta dapat mengatasi masalah yang dihadapi.

“Seterusnya, aspek ketiga, bagaimana pengurusan impak. Ada yang masalah dari segi pendapatan kerana hilang punca rezeki termasuk bekalan topeng muka dan sosial,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Pertama Jawatan Kuasa Kerja Wilayah Persekutuan hari ini.

Terdahulu Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan, mesyuarat yang dipengerusikannya bertanggungjawab tentang hal berkaitan keselamatan dan tertumpu kepada Perintah Kawalan Pergerakan serta status terkini wabak Covid-19.

Jelas beliau, dengan mempunyai kepadatan penduduk yang banyak, Wilayah Persekutuan memerlukan tahap kesiapsiagaan yang lebih lagi berikutan pada masa ini Kuala Lumpur berada di tangga kedua kes Covid-19 dan tangga teratas jika berdasarkan ratio penduduk.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya juga memutuskan untuk mengadakan mesyuarat secara harian pada pukul 11.30 pagi, yang memfokuskan perbincangan serta semakan tentang keadaan semasa negeri.

“Ia juga akan mengkoordinasi agensi-agensi terlibat dengan perintah kerajaan sekali gus menguatkan lagi penguatkuasaan. Bilangan anggota mesyuarat juga dikecilkan yang mana maklumat akan disampaikan melalui kumpulan WhatsApp.

“Kalau ada perkara yang perlu diambil tindakan segera, hebahan akan dibuat dalam bentuk kenyataan atau pengumuman. – WILAYAHKU

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075 | WhatsApp : +6019-3483073

Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my