top of page

Tugas kendali gelandangan mencabar, KWP sedia dana RM1 juta

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyediakan dana sejumlah RM1 juta tahun ini khusus bagi melakukan usaha menyelamatkan golongan gelandangan di sekitar ibu kota.

Menterinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, dana itu termasuk untuk disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu melakukan aktiviti untuk golongan tersebut.

Katanya, NGO tersebut juga boleh membantu membawa masuk dana-dana lain yang dapat digunakan untuk beberapa bidang lain seperti kaunseling, rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

“Saya akan masukkan NGO-NGO utama ke dalam pasukan petugas khas yang akan ditubuhkan supaya dapat bersama-sama berganding bahu.

“Daripada dana itu nanti juga akan digunakan bagi melengkapkan kemudahan untuk gelandangan di asrama yang disediakan syarikat swasta dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam sesi Live di laman Facebooknya hari ini.

Sesi itu juga disiarkan secara langsung di laman web Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku.

Semalam beliau mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa petugas khas membabitkan pelbagai agensi untuk mengendalikan isu gelandangan secara lebih khusus.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, dana tersebut juga akan digunakan bagi melengkapkan keperluan gelandangan terutamanya menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini selain bantuan yang mereka layak terima di bawah program yang diumum kerajaan sebelum ini.

“Kita akan uruskan mereka dapat bantuan-bantuan itu dan kalau ada lagi perkara yang diperlukan untuk mereka kita akan bantu.

“Kalau yang boleh melakukan kerja untuk menambah pendapatan, sebagai contoh salah seorang daripada mereka pandai melukis, kita boleh bantu jadi pelukis jalanan, mungkin dia perlukan alat tertentu nak jalankan aktiviti melukis kaedah macam itu kita akan gunakan dana itu,” katanya sambil berharap ada syarikat korporat turut tampil menyumbang kepada dana tersebut.

Beliau berharap melalui dana itu, sebarang rancangan yang dibuat bersama nanti dapat dilaksanakan dalam tempoh yang cepat.

“Jangan rasa mudah uruskan gelandangan ini, ia suatu perkara mencabar, banyak orang gagal, kita bawa dia lari balik, banyak juga yang terjadi,” katanya.

Justeru kata beliau, kerajaan akan mengambil pendekatan berbeza dan lebih mapan yang boleh diikuti kerana sementara menanti asrama baharu siap, gelandangan baharu akan wujud.

Sebab itu kata beliau, pihaknya ingin bekerjasama dengan pihak NGO untuk membangkitkan kesedaran agar mereka tidak bergelandangan lagi.

Annuar berkata, Panglima 12 Bridged Angkatan Tentera Malaysia juga telah bersetuju untuk melaksanakan ujian fizikal terhadap gelandangan tersebut selain Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah mengenal pasti kaunselor untuk membantu.

“Pilih jalan-jalan lain, ada banyak agensi dan individu yang membantu. Kalau pun ada masalah sosial, keluarga dan kewangan, kita tidak mahu rakyat, orang kita terjebak dalam situasi tersebut.

“Insya-Allah kerajaan akan lihat perkara ini secara serius dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Terdahulu Annuar memaklumkan seramai lebih 70 gelandangan warga asing yang ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Alam Damai, Cheras telah menjalani saringan pemeriksaan kesihatan dengan kesemuanya negatif Covid-19. – WILAYAHKU

Comments


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page