YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN & ECO-SHOP SOKONG PELAJAR DENGAN BANTUAN KEMBALI KE SEKOLAH BERNILAI RM120,000
- Feb 27
- 3 min read

15 DISEMBER 2025, KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersama Eco-Shop, peruncit barangan rumah mampu milik terkemuka di Malaysia, dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), menyampaikan bantuan asas Kembali ke Sekolah bernilai RM120,000 kepada 600 murid kurang berkemampuan bagi menghadapi tahun akademik yang akan datang.
Setiap pelajar diberi baucar RM50 dari Eco-Shop yang boleh ditebus untuk mendapatkan barangan sekolah di mana-mana cawangannya di seluruh negara, dan setiap pelajar juga diberi bantuan kewangan RM150 dari Yayasan Wilayah Persekutuan dan DBKL, yang akan didepositkan ke akaun PIBG sekolah mereka. Tujuan bantuan tunai ini adalah untuk menampung yuran PIBG pelajar dan lain-lain keperluan sukan/ kurikulum. Usaha ini adalah untuk memastikan murid-murid sekolah tidak tercicir dan akan dapat memulakan tahun persekolahan mereka dengan keperluan yang lengkap dan keyakinan yang lebih baik.
Majlis penyerahan bantuan yang diadakan di Mayor’s Courtyard, Rumah Tangsi ini, menghimpunkan 150 pelajar sekolah rendah dan menengah serta guru pengiring dari 30 buah sekolah di Kuala Lumpur. Pelajar dipilih daripada keluarga yang berpendapatan rendah (B40) di Kuala Lumpur, dan kehadiran mereka secara peribadi, mengukuhkan justifikasi matlamat program ini yang menyediakan sokongan segera dan praktikal buat mereka yang memerlukan. Ini menyerlahkan perlunya usaha berterusan antara YWP & Eco-Shop agar terus membantu lebih ramai penerima yang bukan sahaja dari Kuala Lumpur tetapi juga dari Putrajaya dan Labuan.
Menurut Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, "Kerjasama korporat-kerajaan ini adalah peringatan bahawa setiap individu atau organisasi mempunyai peranan untuk dimainkan dalam memperkukuh komuniti dan menyokong generasi akan datang. Apabila kita bekerjasama dengan niat yang tulus, sumbangan yang kecil boleh mencipta perubahan yang bermakna dalam kehidupan seseorang pelajar yang memerlukan. Oleh itu, kami mengalualukan semua agensi kerajaan, syarikat korporat mahupun individu untuk bersama kami dalam usaha yang murni ini".
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Malaysia, Puan Jessica Ng pula berkata, “Sebagai jenama yang memberi khidmat kepada komuniti di seluruh negara, kami melihat sendiri bagaimana peningkatan kos hidup memberi kesan kepada sesebuah keluarga, terutamanya pada permulaan sesi persekolahan yang baru. Maka itu, kami yakin, kerjasama dengan YWP, DBKL dan JPWPKL akan membolehkan kami menyumbang secara lebih mampan. Kami melihat inisiatif ini bukan sahaja sebagai bantuan kepada pelajar tetapi juga sebagai satu pelaburan untuk membantu generasi masa depan yang akan membentuk kemajuan Malaysia”.
Melengkapi inisiatif ini, Eco-Shop juga memperkenalkan kempen Riang Ria Hari Sekolah, yang akan berlangsung sehingga 11 Januari 2026 bagi menyokong keluarga membuat persiapan untuk tahun akademik baharu. Kempen ini turut menonjolkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa di Malaysia yang berdepan tekanan kos sara hidup termasuk kos persiapan persekolahan anak-anak.
Inisiatif ini juga berfungsi sebagai peringatan bahawa kemampuan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kesediaan seorang anak untuk ke sekolah, dan bahawa pilihan kecil yang bijak boleh membantu meringankan beban sesebuah keluarga.
Secara ringkasnya, Yayasan Wilayah Persekutuan, Eco-Shop, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama-sama menegaskan komitmen mereka untuk memperkasa generasi muda melalui pendidikan. Dan menerusi kerjasama ini, satu sistem sokongan yang kukuh dan mampan demi manfaat para pelajar, keluarga dan komuniti di Kuala Lumpur, telah dapat dibina.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Riang Ria Hari Sekolah, ikuti Eco-Shop di Facebook (EcoShopMarketing), Instagram (ecoshop_my), TikTok (@ecoshopmalaysia), dan XHS (eco-shop MY).
Manakala, untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan skim bantuan yang ditawarkan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan, sila layari www.yayasanwp.org.my.










































Comments