top of page

YWP komited sokong pendidikan pelajar berpendapatan rendah


Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa komited untuk menyokong pembangunan pendidikan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) khususnya di Wilayah Persekutuan. Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata matlamat utama YWP ditubuhkan adalah untuk membantu pelajar-pelajar Wilayah Persekutuan selain membantu hal ehwal kebajikan rakyat di negeri ini.


“YWP seperti yayasan negeri lain sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan pendidikan anak negeri khususnya daripada keluarga B40 melalui berbagai program termasuk pemberian biasiswa,” ujarnya ketika menerima kunjungan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Shamsuddin Nain, Rantau, Negeri Sembilan ke Wilayahku, Rabu lalu.


Menurut beliau, pelajar-­pelajar perlu mengubah sikap sambil lewa kepada sikap rajin dan tidak berkira dalam pelajaran kerana kerajaan melalui berbagai agensi menyediakan program-program terbaik untuk membantu mereka.


Jelas Zaizalnizam, sikap rajin adalah kunci utama kepada kejayaan biarpun tidak pandai dalam pelajaran namun jangan berhenti berusaha untuk mencari bidang yang sesuai dengan diri sendiri di masa hadapan.


“Sebagai contoh dalam bidang media, cabang itu sangat luas. Bukan sahaja dalam bidang penulisan seperti wartawan, mungkin anda juga berpotensi untuk menjadi penganalisa media sosial atau sebaliknya. “Lebih-lebih lagi media sosial kini adalah satu instrumen informasi dan komunikasi yang begitu mendapat tempat pada hari ini. Jadi, jangan sesekali merasa tiada tempat atau peluang untuk menempatkan diri,” ujar beliau.


Terdahulu, Pengurus Besar Wilayahku, Azlan Abdul Aziz bersama kakitangan menerima kunjungan seramai 42 pelajar aliran Sains, Sastera dan Vokasional diiringi lima orang guru pengiring sempena Program Jelajah Ilmu menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, 20 Februari ini.


Sementara itu, menurut guru Bahasa Melayu dan Sejarah, SMK Dato Shamsuddin Nain, Mohd Nizam Mohd Nor, program ini memberi pendedahan kepada pelajar terhadap dunia luar dan menyuntik semangat mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan mengenali alam pekerjaan.


“Saya dapat lihat mereka begitu teruja ke sini dan dan diharapkan semangat mereka berkobar-kobar untuk menduduki SPM tidak lama lagi,” ujarnya menjelaskan gred purata keseluruhan (GPS) peperiksaan percubaan SPM sekolah tersebut meningkat. Selain pejabat Wilayahku, mereka turut dibawa melawat ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya serta lokasi popular sekitar Putrajaya antaranya Souq Shoppe @ Putrajaya dan Putrajaya Story.

Comments


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page