top of page

YWP Perkasakan Skim Bantuan Awal IPT


FAKTOR kewangan memainkan peranan penting bagi seseorang pelajar yang ingin melangkah ke alam universiti lebih-lebih lagi dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40). Malah, ada yang terpaksa melupakan hasrat kerana kekangan yang dihadapi.


Menyedari peri pentingnya dalam memastikan anak-anak B40 di Wilayah Persekutuan tidak berdepan dengan perkara tersebut, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan terus memperkasakan Skim Bantuan Awal IPT kepada mereka yang layak.


Ketua Pegawai Esekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata ia merupakan komitmen penting untuk terus membantu pelajar melanjutkan pengajian ke universiti dalam peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran Falsafah (PhD).


“Hasil maklumat dan pemerhatian yang telah daripada dikenal pasti, kebanyakan pelajar menghadapi masalah untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana faktor kewangan misalnya tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membiayai kos pengajian.


“Faktor ini menyebabkan mereka merasakan tidak layak lalu melepaskan peluang tersebut begitu sahaja. Jadi, ini adalah salah satu sebab mengapa kami mahu memperkasakan bantuan tersebut,” ujar beliau kepada Wilayahku.


Tambah beliau, YWP mendapat banyak respons positif daripada ibu bapa yang berterima kasih kerana meringankan perbelanjaan mereka dari segi persiapan anak-anak yang ingin melangkah ke universiti.


“Saya berharap lebih ramai pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di IPT terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan RM1,000 ke bawah mengambil peluang mendapatkan bantuan one-off ini,” ujar beliau.


Jelas beliau lagi, bagi pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai cara permohonan, muat turun borang dan mengetahui syarat kelayakan, boleh melayari laman sesawang YWP iaitu www.yayasanwp.org.


Terdahulu, beliau menyerahkan cek Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP kepada 59 pelajar bagi tahun 2019 hingga 2021 di Wisma YWP yang merupakan serahan terakhir sebelum tersebut dihentikan.


“Ini merupakan pelajar-pelajar terakhir yang menerima skim biasiswa ini sebelum ia dihentikan atas keputusan bersama ahli lembaga pengarah yang mahu kami fokus kepada Skim Bantuan Awal IPT.


“Jumlah tersebut merangkumi seorang penerima bagi tahun 2018;19 penerima bagi tahun 2019; 18 penerima pula pada tahun 2020 dan 21 penerima bagi tahun 2021,” ujar beliau menjelaskan YWP akan meneruskan tanggungjawab memastikan pelajar mampu masuk ke IPT.

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page