YWP Santuni Warga Flat Taman Mutiara: Salur Bantuan Air Bersih Susulan Gangguan Bekalan di Labuan
Feb 27
1 min read
LABUAN, 17 Januari 2026 – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sekali lagi membuktikan komitmennya sebagai organisasi yang sentiasa peka terhadap kebajikan warga Wilayah apabila tampil memberikan bantuan segera kepada penduduk Flat Taman Mutiara, Labuan, hari ini.
Misi bantuan ini dilaksanakan sebagai respon pantas terhadap situasi gangguan bekalan air yang telah berlarutan selama lebih 10 hari di kawasan tersebut, yang telah menjejaskan aktiviti harian ratusan keluarga.
Sebanyak 3,264 unit botol air minuman telah disalurkan melalui kerjasama erat bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan. Fokus bantuan diberikan kepada golongan paling terkesan termasuk warga emas, kanak-kanak, serta keluarga berpendapatan rendah bagi memastikan keperluan asas minuman mereka tidak terputus.
Kehadiran pasukan YWP yang turun padang bersama kepimpinan MPP Labuan mencerminkan semangat keprihatinan yayasan dalam mendepani cabaran yang dihadapi penduduk di peringkat akar umbi.
"YWP sentiasa bersedia untuk bersama masyarakat dalam apa jua situasi sukar. Kami memahami bebanan yang ditanggung penduduk Flat Taman Mutiara akibat ketiadaan bekalan air yang lama. Bantuan ini merupakan inisiatif jangka pendek bagi meringankan beban mereka sementara menantikan isu teknikal bekalan air diselesaikan sepenuhnya oleh pihak berkuasa," menurut kenyataan pihak YWP.
Langkah proaktif ini selaras dengan misi YWP untuk memastikan kesejahteraan warga Labuan sentiasa terpelihara. Sinergi antara YWP dan MPP Labuan dalam menangani krisis setempat ini membuktikan keberkesanan jaringan sokongan sosial yang dibina demi kepentingan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mendepani nilai ihsan.
Comments