top of page

YWP serah 20,000 kata laluan kelas digital

SERAMAI 20,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mendapat manfaat daripada kelas digital SPM Mahir Tutor bermula 1 Jun lalu.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun, sejak ia dilaksanakan, pihaknya telah menyerahkan 20,000 kata laluan kepada murid sekolah bagi membolehkan mereka mengakses kelas percuma tersebut. “Semuanya berjalan lancar dan Insya-Allah hujung bulan ini, kita akan memperoleh peratusan pelajar yang telah menyertai kelas tersebut sekali gus mengetahui sejauh mana keberkesanannya. “Untuk itu, kita akan berbincang dengan pembekal data secepat mungkin bagi melihat data pengguna dan maklumat berkaitan,” ujar beliau kepada Wilayahku.


Tambah beliau lagi, kelas yang merangkumi 10 subjek teras atau wajib lulus SPM merupakan persediaan yang bagus bagi calon SPM menghadapi peperiksaan besar itu tidak lama lagi. “Jika tidak faham, mereka boleh berinteraksi secara pantas dengan tutor melalui live chat untuk meleraikan ketidakfahaman terhadap sesuatu topik. “Menariknya kesemua kelas pembelajaran ini direkodkan dalam (video on demand) yang membolehkan pelajar untuk mengaksesnya melalui semua jenis peranti,” ujar Zaizalnizam. Kelas digital merupakan salah satu Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0 yang diwujudkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sementara YWP pula bertindak menyediakan platform dan akses. Merangkumi 10 subjek teras atau wajib lulus SPM iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Matematik, Sains, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan, kelas tersebut mendapat kerjasama pihak syarikat penyedia kemudahan tuisyen dalam talian iaitu Planet Mahir. Terdahulu, YWP memperuntukkan RM200,000 bagi menyediakan platform dan akses kelas digital dengan harga paling minima iaitu RM10 untuk setiap pelajar.



Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page