YWP serah sumbangan bantuan "Back To School", Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah & Program Skim Biasiswa Pengajian Tinggi IPTA
4 April 2024, Kuala Lumpur - Setiausaha Politik YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Binti Abdullah telah berkenan merasmikan program Program Bantuan “Back To School” Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, “Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah” & Penyerahan Cek “Skim Biasiswa Pengajian Tinggi” Yayasan Wilayah Persekutuan 2024 di Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa.
Melalui program “Back To School”, 3,000 orang pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dari Kuala Lumpur akan dibantu pada tahun 2024 ini, dengan peruntukan sebanyak RM300,000 yang telah dikumpul. Ia adalah melalui sumbangan yang telah diberikan oleh pihak Jabatan Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pihak Tabung Haji melalui Pusat Pungutan Zakat MAIWP.
Melalui Program Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah pula, seramai 2,000 orang pelajar daripada 101 buah sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, akan mendapat bantuan makanan yang disediakan oleh pengusaha kantin selama setahun dan dipantau pelaksanaannya oleh pihak sekolah. Jumlah perbelanjaan yang diperlukan bagi menampung keseluruhan program ini sehingga habis sesi persekolahan adalah sebanyak RM 2.8juta. Namun kutipan terkini adalah sebanyak 1.5juta dari sumbangan wakalah Tabung Haji.
Melalui, Program Skim Biasiswa Pengajian Tinggi IPTA, YWP turut membantu 30 orang pelajar IPTA pada tahun 2024 ini dengan nilai terkumpul sebanyak RM182,941. Pelajar IPTA yang datang dari keluarga yang susah ini, mempunyai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan telah melepasi beberapa ujian bahasa Inggeris, Matematik serta psikometrik yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penilai di Yayasan Wilayah Persekutuan.
Skim Biasiswa Pengajian Tinggi IPTA ini meliputi yuran pengajian, kos sara hidup, penginapan dan tusiyen. Yayasan Wilayah Persekutuan percaya hanya dengan pendidikan, akan mampu mengubah nasib seseorang. Justeru, tajaan penuh ini diyakini mampu menjadi motivasi dan perangsang kepada pelajar-pelajar ini untuk terus berjaya dan akan memberi sumbangan besar kepada pembangunan masyarakat dan negara di masa hadapan.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ismadi Sakirin; Penolong Pengurus Besar Khidmat Pelanggan dan Ejen Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Khalid Mohamed dan Pengarah Tabung Haji Wilayah Persekutuan, Mohd Ezham Leman serta Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj.
Comentarios