top of page

YWP tambah baik inisiatif program 2023


YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) komited meneruskan program-program yang telah dilaksanakannya dan akan menambah baik inisiatif tersebut seiring perancangan tahunannya bagi tahun 2023.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata bagi tahun 2023, YWP akan memberi pendekatan terhadap pembangunan ekonomi melibatkan warga Wilayah Persekutuan termasuk pembangunan pendidikan pelajar sekolah mahupun universiti.


“Alhamdulillah, kita dapat melaksanakan semua aktiviti yang dirancang tahun ini dengan sebaiknya termasuklah melibatkan diri secara langsung meskipun perlu melaksanakan program di luar perancangan asal misalnya program tambahan (ad hoc) seperti bencana banjir dan sebagainya.


“Antaranya meneruskan lagi pemberian bantuan khas kepada warga kota dengan meningkatkan pembangunan ekonomi dalam kalangan Usahawan Muda Kota (UAMK). Sehingga kini, kita telah menyediakan lokasi dan kios untuk usahawan terutama golongan anak muda untuk terus menceburi bidang perniagaan,” kata beliau kepada Wilayahku.


Beliau juga memaklumkan, YWP akan mempergiatkan usaha membantu pelajar di sekitar Wilayah Persekutuan menerusi bantuan pendidikan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun peralatan.


Selaras dengan matlamatnya mengutamakan kebajikan dan kesusahan yang dialami rakyat, YWP juga tidak ketinggalan melaksanakan beberapa program tanggungjawab sosial terhadap masyarakat yang ditimpa musibah serta memerlukan.


“Setakat ini, kita tidak mendapat sebarang arahan untuk turun membantu mangsa di sana. Suka saya jelaskan, biarpun Wilayah Persekutuan hanya merangkumi cerita dan keadaan warga kota sahaja tetapi sekiranya ia menjadi sebahagian daripada agenda kerajaan yang memerlukan penglibatan YWP, kita sedia untuk membantu,” jelasnya.


Justeru itu, Zaizalnizam berharap penglibatan YWP dalam perniagaan diperluaskan agar pendapatan YWP akan bertambah dari semasa ke semasa serta boleh menggunakannya sebagai sumbangan kebajikan kepada warga kota.


“Saya harap kerjasama daripada seluruh agensi kerajaan misalnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) dipertingkatkan supaya YWP memperoleh lebihan pendapatan untuk kegunaan aktiviti kebajikan bagi tahun 2023,” katanya.

Opmerkingen


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page