top of page

YWP tanggung kos perubatan RM3,500


KESIHATAN adalah perkara utama yang paling penting dan tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Ia perlu dititikberatkan agar kehidupan dikecapi dengan lebih berkualiti bersama insan tersayang.


Mengakui hal tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun berkata pada tahun ini, pihaknya menerima pelbagai jenis permohonan sumbangan dari segi perubatan.


“YWP sentiasa mengambil berat dengan golongan yang memerlukan. Terbaharu, kita meluluskan satu kes bantuan perubatan dari segi alat bantuan pendengaran daripada seorang warga emas.


“Pemohon mempunyai masalah pendengaran dan sangat memerlukan alat tersebut untuk urusan seharian. Oleh itu, Bahagian Pembangunan Komuniti bersetuju untuk menanggung sepenuhnya kos pembelian bernilai RM3,500,” ujar beliau kepada Wilayahku.


Tambah beliau, sebelum memutuskan bantuan secara one-off tersebut, pihaknya telah mengadakan lawatan ke rumah pemohon selain turut meneliti terlebih dahulu dokumen yang dihantar.


“Tiada kriteria khusus untuk mana-mana permohonan diluluskan kerana ia bergantung kepada keadaan pemohon. Namun, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik, warga emas dan orang kurang upaya (OKU),” jelas beliau.


Kata beliau lagi, permohonan juga turut dilihat berdasarkan pendapatan selain warga yang menetap di Wilayah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.


“Tidak hanya peralatan perubatan, YWP juga turut memberi bantuan bernilai RM300 hingga RM500 secara tunai kepada mereka yang layak selain bakul makanan yang mengandungi barangan asas.


“Meskipun tidak semua permohonan diluluskan namun YWP sentiasa melakukan usaha yang terbaik dalam memastikan tiada golongan yang tercicir untuk mendapatkan bantuan di ketiga-tiga wilayah ini.


“Kita sentiasa bersedia dalam membantu mereka yang memerlukan dan bagi mereka yang ingin memohon sumbangan atau mengetahui maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang YWP di https://www.yayasanwp.org/,” ujar beliau. -WILAYAHKU

コメント


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page