top of page

YWP, TNB DAN JPWPKL BANTU 1,600 CALON SPM DI 40 SEKOLAH KUALA LUMPUR

  • Jul 28
  • 2 min read


KUALA LUMPUR, 23 Julai 2026 – Seramai 1,600 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada 40 sekolah menengah di Kuala Lumpur menerima bimbingan akademik berfokus menerusi Program “Better SPM, Brighter Future” 2026.

Program anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) itu bertujuan membantu pelajar yang memerlukan sokongan tambahan untuk memperkukuh persediaan menghadapi peperiksaan percubaan dan SPM.


Program yang sedang dilaksanakan di sekolah masing-masing merangkumi kelas tambahan bagi mata pelajaran teras, seminar teknik menjawab soalan, program motivasi serta bimbingan akademik berfokus. Pelaksanaannya dijangka selesai pada hujung Ogos 2026 sebelum peperiksaan percubaan SPM bermula.


TNB menyalurkan sumbangan sebanyak RM276,200 bagi menjayakan program tersebut sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan pendidikan dan meningkatkan peluang pelajar mencapai potensi mereka.


JPWPKL pula memainkan peranan dalam menyelaras pelaksanaan program bersama pihak sekolah, termasuk mengenal pasti peserta, mengatur jadual pembelajaran dan memastikan setiap komponen program dilaksanakan secara teratur.


Majlis Perasmian Program “Better SPM, Brighter Future” 2026 telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Pengerusi YWP, YB Puan Hannah Yeoh Tseow Suan.


Menurut Hannah, bantuan pendidikan perlu disalurkan secara bersasar supaya pelajar yang memerlukan sokongan tambahan tidak tercicir hanya disebabkan kekangan di luar kawalan mereka.


“Latar belakang keluarga tidak boleh menentukan sejauh mana seorang pelajar boleh pergi. Tanggungjawab kita adalah memastikan pelajar yang mahu berusaha diberikan sokongan, bimbingan dan peluang yang mencukupi untuk berjaya.


“Program ini bukan sekadar menyediakan kelas tambahan. Kita mahu membina semula keyakinan pelajar dan membantu mereka menghadapi SPM dengan persediaan yang lebih baik,” katanya.


Keberkesanan program akan dipantau berdasarkan tahap kehadiran, penyertaan pelajar serta perubahan prestasi akademik mereka sebelum dan selepas pelaksanaan program.


YWP akan terus memperluas kerjasama dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta dan rakan strategik bagi melaksanakan inisiatif pendidikan dan pembangunan komuniti yang memberikan manfaat langsung kepada penduduk Wilayah Persekutuan.


– TAMAT –

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Perhubungan Korporat, Yayasan Wilayah Persekutuan pada 23 Julai 2026.

 
 
 

Comments


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075

Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my

bottom of page