top of page

1,078 penjaja, pemandu teksi dapat bantuan Wilayah Cakna

LABUAN – Kesusahan yang dihadapi penduduk di sini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu terubat apabila seramai 1,078 orang layak menerima bantuan di bawah Inisiatif Wilayah Cakna yang diselaraskan oleh Perbadanan Labuan (PL).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, setakat ini sebanyak RM343,500 telah diagihkan kepada 687 penerima manakala baki 391 lagi akan diberikan kepada mereka yang layak.

“Jumlah keseluruhan bantuan di bawah Insentif Wilayah Cakna akan dinikmati seramai 1,078 orang secara keseluruhannya.

“Melalui insentif ini, PL memperuntukkan sebanyak RM700,000 melibatkan seramai 1,078 orang penerima. Setakat hari ini, pihak PL telah menerima 775 permohonan yang lengkap,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Perbadanan Labuan hari ini.

Bayaran sebanyak RM500 seorang itu adalah untuk golongan penjaja, pemandu teksi dan sektor yang terlibat dengan Perbadanan Labuan.

Inisiatif Wilayah Cakna merupakan program yang diwujudkan di bawah kepimpinan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa bagi membantu meringankan bebanan semua golongan susulan penguatkuasaan PKP.

Dalam perkembangan lain, Fary berkata, beberapa sektor tambahan yang telah diumumkan kerajaan termasuk sektor G1 dan G2 membabitkan sektor pembinaan dan penyelenggaraan masih belum beroperasi di pulau ini.

“Setakat ini, Labuan masih berada di kedudukan Zon Kuning dan syarat untuk melayakkan sub sektor tambahan beroperasi perlu berada di kedudukan Zon Hijau,” katanya.  – WILAYAHKU

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page