top of page

PKP: KWP cadang wujud dapur bergerak di lokasi PKPD

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bercadang untuk mewujudkan dapur bergerak di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk membekalkan makanan kepada penduduk terjejas.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menggerakkan dapur itu bagi memudahkan penduduk terjejas mendapat makanan, terutamanya ketika bulan Ramadan.



“Kami sudah berunding dengan tentera supaya dapur mereka dari kem boleh dibawa keluar ke kawasan-kawasan PKPD, namun perkara ini masih lagi dibincangkan di peringkat Pusat Pengurusan Krisis (CMC).


“Kalau tidak kita akan timbul masalah logistik, bulan puasa makanan nak cepat, kedai duduk jauh-jauh jadi daripada segi tenaga kami tak larat nak bagi makanan bungkus, kami mahu supaya langkah proaktif dapat diambil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) di CMC Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.


Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.


Annuar berkata pihaknya juga sudah mewujudkan dana khusus di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menangani keperluan bekalan di kawasan PKPD.


“Kami menjangkakan sebanyak RM2 juta boleh dikutip untuk keperluan makanan warga kota yang terjejas, termasuk warga asing,” katanya.


Sementara itu, Annuar berkata pihaknya meminta maaf kepada peniaga dan penjaja yang terjejas akibat ketiadaan Bazar Ramadan pada tahun ini.


“Saya harap mereka faham kerana tiga alternatif yang kami syorkan itu tidak dapat dijalankan berikutan penularan wabak.


“Jadi dengan bantuan sedia ada daripada kerajaan diharapkan mereka dapat bersabar dan berkorban untuk mengurangkan kes jangkitan COVID-19,” katanya. - BERNAMA

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page